Hapus rasuah sebelum tamat penggal – Duterte

MANILA, 27 OKT – Presiden Filipina Rodrigo Duterte berikrar untuk ‘menumpukan’ kepada usaha membanteras rasuah, berbaki dua tahun lagi tempoh untuknya memegang jawatan itu.

Tambah beliau negara terus diancam dengan jenayah rasuah meskipun pelbagai usaha pencegahan sudah dilaksanakan, lapor agensi berita Xinhua. “Anda tahu negara ini terus dicengkam rasuah,” kata Duterte dalam ucapannya yang disiarkan stesen televisyen hari ini.

Duterte menekankan perlunya melindungi kepentingan kerajaan ketika beberapa pegawai agensi kerajaan sedang disiasat kerana didakwa terbabit rasuah. Duterte yakin pentadbirannya masih berupaya melakukan sesuatu untuk mengurangkan jenayah itu.

Pada 2016, ketika dipilih menjadi presiden Duterte bertekad untuk membanteras aktiviti dadah haram dan rasuah yang kian berleluasa di Filipina.

Duterte sekali lagi memberi amaran ‘berhenti atau akan menerima padah. Ini amaran kedua saya. Saya berikrar akan menjalankan pemeriksaan menyeluruh di setiap jabatan.’

“Saya akan memastikan rasuah dapat dihapuskan,” katanya. – Bernama

Duterte berikrar untuk menumpukan kepada usaha membanteras rasuah, berbaki dua tahun lagi tempoh untuknya memegang jawatan itu. – AFP