Penyanyi, Haqiem Rusli menghasilkan karya buat adiknya, Zali Rusli sebagai tanda sokongan untuknya melangkah ke dalam industri seni suara.
Haqiem berkata, single berjudul Pewangi itu diharapkan boleh dijadikan permulaan yang baik untuk Zali melangkah lebih jauh.
“Saya mahu memberikan galakan pada Zali bergelar seorang penghibur. Bukankah menghiburkan peminat boleh menggembirakan mereka. Jadi, ia adalah satu perkara positif. Tidak hanya itu, dalam masa sama, Zali boleh belajar dalam dunia penciptaan lagu.
“Sebagai abang, saya akan cuba sedaya upaya untuk membantu adik untuk mencipta nama dan populariti. Lagi pula, bukan senang mahu mendapat tempat di hati pendengar jika tiada karya yang bagus.
“Saya kena beri tunjuk ajar kepada Zali untuk menempuhi liku dalam industri muzik, apatah lagi, Zali baru berusia 15 tahun, masih terlalu muda,” katanya kepada media.

Sementara itu, Zali yang juga adalah anak bongsu kepada empat beradik itu berkata, dia sudah lama meminati bidang nyanyian sejak mengikuti abangnya.
“Saya selalu mengikuti dan menonton persembahan abang. Saya teruja dan menyimpan hasrat untuk berkongsi pentas dengan abangnya, suatu hari nanti.
“Alhamdulillah, saya dilamar oleh syarikat rakaman FMC Music. Tetapi, untuk mengejar impian, saya diberikan syarat oleh ibu bapa saya agar tidak mengabaikan pelajaran.
“Insya Allah, saya tidak akan mengabaikan permintaan mereka. Abang juga memberi sokongan sepenuhnya, tetapi turut meletakkan syarat sama seperti ibu bapa. Abang tidak mahu saya tidak membelakangkan pelajaran,” katanya.
Mempertaruhkan karya ciptaan abangnya sendiri, Zali berkata, dia meletakkan harapan tinggi pada single Pewangi dan berharap pendengar tidak membandingkannya dan Haqiem.
“Saya menyampaikan single Pewangi dengan cara nyanyian tersendiri dan tidak terpengaruh dengan cara nyanyian abang, walaupun lagu berkenaan ciptaannya. Jadi, saya harap karya pertama ini mendapat sambutan positif,” katanya.
Single dan video muzik terbitan serta edaran FMC Music sudah pun dilancarkan secara rasmi pada 2 Oktober lalu. Lagu Pewangi adalah ciptaan Haqiem bersama Ibnu, manakala liriknya dihasilkan sepenuhnya oleh Haqiem. – Agensi