Haqiem Rusli makin matang

Enggan leka dalam zon selesa, penyanyi dan komposer, Haqiem Rusli muncul dengan single terbaharu, Adlina Marie yang mengangkat kisah sedih kanak-kanak perempuan berusia lima tahun rindukan ayah yang terkorban dalam kemalangan.

Mahu dilihat matang, Haqiem menghadiahkan video muzik single berkenaan yang menampilkan klip video viral dialog dilafazkan kanak-kanak itu yang antara lain menyebut ‘ayah tak keluar pun’, dimuat naik di YouTube, sejak kelmarin.

Ketika ini, video muzik Adlina Marie sudah meraih lebih 150,000 tontonan.

Mengulas lanjut mengenai lagu baharunya itu, Haqiem memberitahu, dia enggan terus dikenali dengan lagu-lagu cinta.

“Namun, bukanlah bermaksud lagu cinta tidak bagus. Lagu cinta saya sebenarnya tebal dengan mesej dan nasihat.

“Single Adlina Marie lebih ke arah kekeluargaan dan cinta yang bersifat universal. Liriknya kalau difahami bersifat neutral dan boleh disesuaikan mengikut terjemahan masing-masing.

“Ini suatu pembaharuan dalam komposisi muzik ke-rana saya meletakkan watak sebenar dalam lagu. Pendek kata, saya buat benda yang orang lain tidak lakukan,” katanya.

Single Adlina Marie adalah ciptaan Haqiem bersama Ibnu dan Ezra Kong. Bercerita mengenai lagu yang diangkat daripada kisah benar itu, Haqiem berkata, dia masih belum berpeluang untuk bertemu adik Adlina Marie.

“Selama ini, saya berhubung dengan kakak saudara dan ibunya sahaja,” katanya. – Agensi

Mengangkat kisah sedih kanak-kanak perempuan berusia lima tahun kehilangan ayah yang terkorban akibat kemalangan, single baharu Haqiem Rusli berjudul Adlina Marie bukti kematangan diri sebagai penyanyi. – Agensi