LONDON, 15 MEI – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta memohon maaf atas aksi kurang memuaskan pasukannya pada separuh masa kedua semasa kekalahan 3-0 di laman sendiri kepada Brighton, kelmarin.
Keputusan perlawanan tersebut sekali gus meletakkan Manchester City semakin hampir merangkul gelaran juara Liga Perdana Inggeris.
The Gunners menghuni kedudukan teratas bagi sebahagian besar musim ini ketika mereka cuba menamatkan penantian selama 19 tahun untuk memenangi gelaran tersebut.
Namun menerima tekanan berterusan daripada City, yang memenangi 11 perlawanan liga berturut-turut, telah membuatkan Arsenal keciciran mata sejak beberapa bulan kebelakangan. Anak buah Arteta kini hanya mencatatkan dua kemenangan daripada tujuh perlawanan terakhir.
“Kami memohon maaf kerana persembahan kami pada separuh masa kedua tidak boleh diterima,” Arteta memberitahu Sky Sports.
“Jika mengikut perkiraan untuk memenangi liga ia masih belum mustahil dan itulah bola sepak. Tetapi hari ini ia mustahil untuk berfikir mengenainya. Kami perlu menerima keputusan ini terlebih dahulu, persembahan kami pada separuh masa kedua, dan mengetahui punca serta menunjukkan reaksi yang sangat berbeza untuk perlawanan seterusnya.”
City akan dinobatkan sebagai juara buat kali kelima dalam enam musim, dan tahun ketiga berturut-turut, sekiranya Arsenal tewas kepada Nottingham Forest pada Sabtu depan.
Meskipun pasukan kendalian Arteta berjaya menundukkan Forest, namun gelaran akan dirangkul oleh City jika pendahulu liga itu menang di laman sendiri menentang Chelsea pada 21 Mei atau mengutip mata penuh dalam dua perlawanan lainnya menentang Brighton dan Brentford.
Arsenal melepasi jangkaan selepas menyertai saingan merebut gelaran dan mereka sudah mengesahkan kelayakan Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam tempoh tujuh musim.- AFP
