Harapan beraksi di Paris 2024 belum padam

KUALA LUMPUR, 13 OGOS – Penerjun negara Malaysia, Nur Dhabitah Sabri merupakan antara calon yang boleh dipertimbangkan bagi mengisi kelompongan ditinggalkan Leong Mun Yee dalam acara 10 meter (m) platform seirama wanita pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

Bekas Olimpian, Bryan Nickson Lomas berpendapat pengalaman Nur Dhabitah yang pernah bertanding dalam acara 10m platform wanita sebelum ini perlu diberi perhatian Persekutuan Renang Malaysia (MS) untuk digandingkan bersama ratu terjun negara Malaysia, Pandelela Rinong bagi mencerahkan peluang meraih pingat di Paris 2024.

“Nur Dhabitah merupakan atlet ‘versatile’ (serba boleh) kerana jarang sekali penerjun boleh bersaing dalam dua acara, 10m platform dan 3m papan anjal.

“Tidak mustahil jika Nur Dhabitah tersenarai kelak, beliau bersama pasangannya mungkin boleh mencabar kedudukan pingat dalam acara 10m platform seirama wanita,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mun Yee yang bergandingan bersama Pandelela dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Olimpik Tokyo baru-baru ini, tidak berjaya menyerlah apabila sekadar menamatkan acara berkenaan di tempat kelapan dan terakhir.

Nur Dhabitah bersama Mun Yee pernah meraih gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita pada Sukan Asia 2018 di Indonesia. – Bernama