Harapan dua negara

Oleh Pg Fairol RMF & Normazlina M.D

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Dis – Pelancongan, ICT, pembuatan, pertanian dan perikanan adalah antara sektor di mana Brunei mahu melihat lebih banyak pelaburan dari Korea.

Bercakap pada Seminar Kerjasama Ekonomi Bersama Brunei-Korea yang diadakan di Bangunan Reka Bentuk dan Teknologi, Anggerek Desa, Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong menekankan bahawa industri pelancongan adalah pemacu penting bagi pembangunan ekonomi dan sosial.

“Ia merangsang pertumbuhan ekonomi dengan menjana pendapatan, pekerjaan, pelaburan dan eksport,” ujarnya sambil menambah, ia juga menghasilkan keluaran sampingan yang berharga, termasuk pemeliharaan warisan budaya dan membawa penambahbaikan kepada infrastruktur dan kemudahan-kemudahan komuniti.

Beliau menambah bahawa di samping meningkatkan produk pelancongan dan mengenal pasti peluang-peluang pelaburan pelancongan baharu, Brunei Darussalam berkembang dari segi meningkatkan kesalinghubungan untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini.

Jelas beliau lagi, dengan peningkatan 145 peratus dalam ketibaan warga Korea ke negara ini pada 2017 berbanding 2016, Syarikat Penerbangan Diraja Brunei (RB) telah memperkenalkan penerbangan tiga kali seminggu ke Incheon, Korea.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa seminar tersebut.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bergambar ramai bersama penceramah-penceramah Seminar Kerjasama Ekonomi Bersama Brunei-Korea.

“Ini akan membantu meningkatkan lagi ketibaan pelancongan dua hala ke Brunei dan Korea,” tambah beliau.

Yang Berhormat Dato mengongsikan, menurut statistik yang dikumpulkan antara Januari hingga Ogos tahun ini, seramai 5,444 orang pelancong Korea berada di negara ini yang meningkatkan sektor pelancongan terutama dalam pelancongan golf di Empire Hotel and Country Club.

Menyentuh mengenai bidang lain dalam sektor pelancongan yang turut menyaksikan perkembangan adalah Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei di mana kedai-kedai bebas cukai dibuka oleh SBC Sdn Bhd pada Mei lalu.

Ini, menurutnya, menyediakan pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada para penumpang yang berlepas di lapangan terbang berkenaan, menawarkan mereka lebih banyak pilihan barangan mewah dan barangan lain.

Seminar anjuran Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan dengan kerjasama Kedutaan Republik Korea di Brunei Darussalam, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) dan Darussalam Enterprise itu membawa tema ‘Strategi Promosi Pelancongan’.

Ia mengetengahkan pakar-pakar yang berkepentingan dari beberapa buah syarikat pelancongan dan agensi kerajaan Korea yang terpilih dan pembentangan daripada Jabatan Perkembangan Pelancongan dan LKEB.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Duta Besar Istimewa dan Mutlak Republik Korea ke Brunei, Puan Yang Terutama Yoon Hyun-bong bersama Pengerusi Kemasyarakatan Ko-rea, Lee Chang Nam.

Antara objektif seminar adalah untuk berkongsi pengetahuan mengenai perkembangan dan mempromosi industri pelancongan dengan penekanan khusus di Daerah Temburong melalui memperkukuhkan pemeliharaan semula jadi di samping dapat membincangkan strategi bahawa Temburong akan ditetapkan sebagai warisan dunia UNESCO dan mengambil pengajaran daripada industri pelancongan Korea.