SYDNEY, 23 Ogos – Harapan Australia untuk melayakkan diri ke Piala Dunia tahun depan tergugat selepas kecederaan memaksa kapten pasukan Mile Jedinak keluar daripada skuad 23 pemain yang akan berdepan Jepun dan Thailand dalam aksi kelayakan.
Jedinak terlepas Piala Konfederasi pada Jun selepas mengalami kecederaan pangkal paha dan belum lagi beraksi untuk kelab Liga Inggeris Aston Villa musim ini.
Persekutuan Bola Sepak Aus-tralia (FFA) berkata di laman sesawangnya, pemain berusia 33 tahun itu kini semakin tenang di Villa setelah bergelut dengan kecederaan sejak beberapa bulan lalu.
Socceroos belum lagi tewas namun berada di tangga ketiga kumpulan B dengan 16 mata, di belakang Arab Saudi dengan perbezaan gol dan Jepun mengungguli kumpulan dengan 17 mata.
Ini bermakna Australia berada selangkah di luar tempat kelayakan automatik untuk Piala Dunia di Rusia tahun depan dan kemenangan ke atas Samurai Biru amat penting. Jepun dijangka bertemu Arab Saudi di Jeddah dalam aksi terakhir kumpulan mereka.
Jurulatih Ange Postecoglou berkata, beliau memilih pemain berpengalaman untuk aksi menentang Jepun di Saitama pada 31 Ogos dan Thailand di Melbourne pada 5 September dan hanya menurunkan Awer Mabil dan Danny Vukovic yang belum meraih kap.
“Saya percaya pemain yang kami sebut hari ini bersedia untuk kedua-dua perlawanan yang sangat penting itu,” kata Postecoglou.
“Tumpuan kami adalah untuk mendapatkan keputusan positif menentang Jepun dan kemudian melihat untuk menamatkan peringkat kumpulan dengan kemenangan di tanah air melawan Thailand.” – AFP