MADRID, 12 Mac – Harapan Sevilla memburu gelaran La Liga telah menghadapi tamparan hebat apabila mereka diikat seri 1-1 di laman sendiri oleh Leganes.
Atletico Madrid kini hanya lima mata di belakang Sevilla yang berada di tangga ketiga, selepas Antoine Griezmann menanduk masuk gol kemenangan penting di Granada yang berkesudahan 1-0.
Sevilla terus bergelut menjelang perlawanan kedua Liga Juara-Juara menentang Leicester City selepas seri 1-1 di Alaves awal minggu ini.
Gabriel Pires mencipta jaringan pembukaan bagi Leganes ketika perlawanan hanya berlangsung selama tiga minit di Sanchez Pizjuan.
Stevan Jovetic menyamakan kedudukan bagi Sevilla sebelum rehat, tetapi Leganes mempunyai lebih banyak peluang di separuh masa kedua untuk mendapat tiga mata.

“Pasukan ini terlalu terburu-buru dan bergegas apabila tidak dapat mencipta peluang. Pasukan yang lebih teratur mampu memberikan kerosakan,” kata bos Sevilla, Jorge Sampaoli.
Tercicir dua mata menyebabkan Sevilla ketinggalan tiga mata dengan pendahulu La Liga, Barcelona, yang kini juga mempunyai kelebihan satu perlawanan.
Sevilla merehatkan beberapa orang pemain utamanya dengan sasaran lebih kepada kunjungan ke Leicester Rabu ini.
Namun, warga Argentina itu memberi amaran bahawa pendahuluan 2-1 Sevilla ke atas juara Inggeris itu tidak cukup untuk melihat mereka mara ke suku akhir, melainkan mereka meningkatkan permainan mereka dengan drastik. – AFP