Harden catat sejarah

LOS ANGELES, 20 Mac – Bintang Houston Rockets, James Harden melakar sejarah NBA hari ini selepas meraih 31 mata ketika menentang Atlanta Hawks, menjadikannya pemain pertama yang meraih sekurang-kurangnya 30 mata ketika menentang setiap pasukan dalam musim yang sama.

Rekod pemain paling bernilai NBA itu muncul dalam perlawanan yang menyaksikan Houston Rockets mencatat kemenangan ke atas Hawks 121-105.

Kemenangan itu membolehkan Rockets memberikan tekanan terhadap Golden State dan penghuni nombor dua, Denver tatkala Hawks mengalami kekalahan ke-48 pada musim ini.

Harden mencatat 10 assist dan lapan rebound selepas Rockets menunjukkan penguasaan perlawanan.

Clint Capela menambah 26 mata sementara Chris Paul mencatat 13 mata dan 11 assist. Danuel House Jr. menambah 19 mata selepas beraksi dari bangku simpanan.

Reaksi Harden dalam babak kedua NBA menentang Atlanta Hawks yang menyaksikan Rockets menang 121-105. – AP

Perolehan mata Atlanta diterajui oleh Trae Young dengan 21 mata, 12 assist dan empat rebound.

Kemenangan Houston itu mengekalkan mereka di kedudukan ketiga dengan 45 menang dan 26 kalah.

Sementara itu, Warriors kembali bangkit selepas tewas kepada San Antonio pada Isnin lalu dengan kemenangan 117-107 ke atas Minnesota Timberwolves.

Stephen Curry dan Klay Thompson mengukuhkan bahagian serangan buat Warriors dengan Curry mencatat 36 mata dan Thompson 28 mata.

Kevin Durant mencatat 17 mata sementara pemain veteran dari Sweden, Jonas Jerebko mencatat 18 mata selepas beraksi selama 18 minit.

Draymond Green membantu Warriors di bahagian pertahanan, dengan melakukan empat halangan sementara turut menyumbang sebanyak 19 rebound dan sembilan assist.

Curry banyak membuat kesukaran buat pasukan lawan dalam aksi suku ketiga yang menyaksikan dia meraih 22 mata. – AFP