STOCKHOLM, 25 Mei – Jurulatih Denmark, Age Hareide memandang rendah terhadap pesaing Perancis bagi Piala Dunia 2018 dengan mendakwa pasukan itu sebagai bukan pencabar kejuaraan yang sebenar dan hanya mempunyai peluang yang agak tipis di Rusia.
“Saya tidak percaya dengan pasukan ini,” kata Hareide kepada akhbar harian Denmark, Jyllands-Posten, sebulan sebelum pertembungan kedua-dua pasukan itu pada 26 Jun ini di Rusia.
“Tiada apa yang istimewa mengenai mereka,” katanya.
“Mereka tidak mempunyai seorang pengendali seperti Zinedine Zidane untuk mengetuai pasukan, seseorang yang tahu bagaimana untuk memberi rangsangan kepada pemain,” kata warga Norway itu yang melatih skuad Denmark selama tiga tahun, dengan menambah mereka perlu bermain sebagai satu pasukan.
Jurulatih berusia 64 tahun itu juga turut membuat kritikan terhadap bintang Manchester United, Paul Pogba mengenai gaya rambutnya yang pelik.
“Dia beraksi ketika menentang Manchester City dengan rambut berwarna biru dan putih, mungkin dia akan mewarnakan merah dan putih ketika pertemuan bersama kami,” kata Hareide.
“Mengejutkan, apakah dia hanya berfikir mengenai potongan rambutnya?” tanya jurulatih itu.
Hareide berkata dia berharap untuk memimpin Denmark bagi memperoleh kempen yang selesa di Rusia.
“Saya tidak boleh hanya gembira selepas berada di Piala Dunia,” katanya.
Denmark mengalahkan Ireland 5-1 dalam perlawanan playoff untuk mara ke pusingan akhir dan diundi dalam Kumpulan C bersama Peru, Australia dan Perancis. – AFP