Harga air botol meningkat kerana kos logistik

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Berikutan permintaan terhadap air botol yang meningkat sejak akhir-akhir ini, pengguna di negara ini melahirkan kebimbangan atas kenaikan harga air daripada beberapa jenama air di negara ini.

Menjawab kepada kebimbangan pengguna itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah menjelaskan, kenaikan harga bagi beberapa jenama air botol itu adalah disebabkan kos logistik yang meningkat.

Sejak penularan COVID-19 ini, Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES), Kementerian Ke-wangan dan Ekonomi sentiasa berusaha meningkatkan pemantauan harga barangan di pasaran.

Dalam usaha ini, tambah beliau, pegawai JPES menghubungi syarikat pembekal air di negara ini untuk meminta informasi dan dokumen melalui e-mel disebabkan BCP dan setelah siasatan dilaksanakan ada beberapa sebab kenaikan harga air botol itu.

“Salah satu sebab kenaikan harga itu adalah kos yang meningkat iaitu kos logistik,” jelas Yang Berhormat Dato semasa sidang media harian di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, di sini, kelmarin.

Yang Berhormat Dato seterusnya menambah, terdapat lebih kurang 22 jenis barang yang dikawal harganya, seperti minyak masak, susu tepung dan sebagainya manakala harga air botol tidak termasuk dalam kawalan harga.