Thursday, April 25, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Harga arang batu dijangka stabil dalam masa enam bulan

    KUALA LUMPUR, 10 APRIL – Harga arang batu global dijangka stabil dalam masa enam bulan bermula dari Mac selepas meningkat tinggi susulan krisis peperangan Rusia-Ukraine yang memberi tekanan ke atas industri penjanaan tenaga di Malaysia.

    Ketua (Perolehan dan Rantaian Bekalan) TNB Fuel Services Sdn Bhd (TNBF) Abdul Halim Othman berkata harga arang batu global berupaya untuk turun selepas melonjak naik apabila bekalan dan permintaan kembali stabil.

    TNBF adalah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang ditubuhkan bertujuan untuk memastikan pembelian arang batu pada harga berpatutan kepada penjana bebas (IPP) yang mempunyai Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan TNB.

    Ia merupakan syarikat bukan berasaskan keuntungan dengan fokus utamanya adalah memastikan ketersediaan arang batu bagi kelangsungan operasi stesen arang batu agar bekalan tenaga elektrik di Semenanjung Malaysia tidak terjejas.

    Abdul Halim berkata, bekalan elektrik yang berterusan adalah tunggak bagi memacu ekonomi negara.

    “Apabila ekonomi kembali stabil maka harganya akan menurun semula, dan trend seperti ini berlaku pada tahun-tahun sebelumnya,” katanya kepada Bernama melalui e-mel.

    Beliau berkata tahun 2021 mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang baik yang membawa kepada permintaan tenaga elektrik lebih tinggi, justeru peningkatan permintaan arang batu yang menyebabkan harga komoditi tersebut meningkat naik pada suku kedua dan ketiga tahun itu.

    Menurutnya, pada suku keempat 2021 harga arang batu global kembali menurun dan stabil namun tidak kekal lama berikutan keputusan Indonesia menghentikan sementara eksport arang batu pada Januari 2022 untuk memenuhi permintaan domestiknya.

    Beliau berkata Malaysia mengimport sebahagian besar komoditi itu dari Indonesia yang merupakan sumber utama tenaga bagi penjanaan elektrik di negara ini.- Bernama

    Gambar bertarikh 6 April 2022 menunjukkan arang batu yang disimpan di luar Loji NTPC di Dadri, India. Harga arang batu global dijangka stabil dalam masa enam bulan selepas meningkat tinggi susulan krisis peperangan Rusia-Ukraine yang memberi tekanan ke atas industri penjanaan tenaga di Malaysia.- AFP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...