Harga barang stabil selepas SST di Sabah

TAWAU, 11 Okt – Harga barang selepas pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di negeri ini direkodkan stabil berdasarkan hanya empat aduan diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah sejak cukai itu dilaksana 1 September lepas.

Timbalan Pengarah Ketua Pegawai Penguatkuasa KPD-NHEP Sabah, Ravichandran Vadivellu berkata aduan itu masing-masing satu di Tawau dan bakinya di Kudat. “Setakat ini, kita lihat harga barangan di pasaran masih sama, ada juga penurunan harga dan cuma ada empat sahaja aduan kita terima bermakna harga barangan di Sabah masih stabil.

“Manakala hanya terdapat tiga pertanyaan daripada pengguna di Sabah mengenai SST iaitu satu (pertanyaan) di Kota Kinabalu dan dua di Sandakan,” katanya dalam satu sidang akhbar. Dalam pada itu, katanya, pihaknya memeriksa 1,662 premis di seluruh Sabah merangkumi 49,382 barangan sehingga 9 Oktober menerusi Operasi Catut 5.0.

“Sepanjang operasi catut sebanyak 8 Notis 21 dikeluarkan kepada peniaga di Sabah dengan dua di Tawau, satu di Keningau dan lima di Kota Kinabalu,” katanya lagi.

Di samping itu, Ravichandran berkata sepanjang tempoh sembilan bulan KPDNHEP telah mengambil tindakan kes ke atas 940 premis perniagaan dalam pelbagai kesalahan termasuk menjual barang tiruan serta cetak rompak.

“Daripada jumlah kes itu RM7 juta nilai rampasan dilakukan,” katanya selain RM80,300 denda dikutip bagi kes yang didakwa di mahkamah.

Sementara itu, satu perintah larangan dikeluarkan untuk pemain industri berskala besar menggunakan Gas Petrolium Cecair (LPG) 14 kilogram bersubsidi bagi tujuan perniagaan di negeri ini.

“Sebaliknya peniaga industri boleh mendapatkan bekalan gas tanpa subsidi 50kg dan perkara itu dipersetujui dalam satu mesyuarat bersama pihak pemborong, industri dobi, pihak hotel termasuk logistik diadakan hari ini,” katanya. – Bernama