GAZA – Harga kos ternakan yang melambung tinggi menyebabkan ayam, hidangan asas berbuka puasa, tidak dihidangkan kebanyakan keluarga semasa bulan suci Ramadan di Semenanjung Gaza.
Selama enam hari berturut-turut, Sohaila Abdel Hady, ibu kepada tujuh anak dari Deir al-Balah di tengah Gaza, tidak mampu untuk memasak ayam untuk keluarganya. Sebaliknya, dia memilih daging lembu beku yang diimport dari Israel sebagai pengganti yang lebih murah.
“Suami saya bekerja sebagai buruh harian di kilang tempatan dan dia hampir tidak dapat memperoleh AS$10 sehari… tidak cukup untuk membeli seekor ayam,” kata wanita berusia 46 tahun itu kepada Xinhua.
Selama beberapa minggu, pasaran Gaza telah menyaksikan kenaikan yang luar biasa pada harga ayam, kerana harga sekilogram ayam telah mencecah AS$5.5 buat kali pertama dalam beberapa tahun.
Daging ayam itu berharga AS$1.5 sekilogram paling tinggi sebelum Ramadan, menurut penduduk tempatan.
Di Pusat Beli-belah Ayam dan Daging Al-Bashir di Gaza, ayam dijual pada harga di luar jangkauan kebanyakan keluarga Palestin, Fayez al-Ejla, seorang pekerja di pusat beli-belah itu memberitahu Xinhua.
Menyatakan sokongan kepada pengguna yang melihat penetapan harga peniaga dan pemilik ladang di sebalik kenaikan baru-baru ini, pusat beli-belah itu telah membiarkan peti sejuknya kosong dengan sepanduk yang menyatakan ‘ayam kehabisan stok kerana harga tinggi’.
“Kami memboikot pembelian dari-pada peniaga dan pemilik ladang kerana mereka memonopoli harga dan mahu menetapkan harga yang mereka mahu. Mereka tidak mengambil berat tentang hakikat bahawa kebanyakan keluarga mengalami keadaan ekonomi yang sukar,” kata al-Ejla.
Kementerian Ekonomi kendalian Hamas mengumumkan ia telah mengetatkan langkah untuk menentang pengaruh monopoli ke atas harga komoditi asas sambil berkata selesema burung di negara penternak lain telah menyebabkan kekurangan bekalan di Gaza.
Abdul Fattah al-Zuraei, setiausaha kementerian, memberitahu sidang akhbar baru-baru ini bahawa harga indikatif bagi komoditi telah dikeluarkan di pasaran tempatan, dan peniaga yang menaikkan harga komoditi makanan akan bertanggungjawab.
Ayman al-Yazuri, penolong setiausaha Kementerian Pertanian, berkata kemen-terian itu mengimport kira-kira tiga juta telur sebulan dari Israel, negara Eropah dan Amerika Utara untuk menampung keperluan ayam daging.
“Akibat penularan selesema burung di negara pengeluar telur pada Januari dan Februari, ratusan ribu ibu ayam pedaging telah dimusnahkan, mengurangkan kuantiti telur yang disenyawakan ayam pedaging di Semenanjung Gaza,” tambah Al-Yazuri.
Dalam usaha untuk mengatasi krisis ayam, Gaza telah mula mengimport telur yang disenyawakan dari Mesir. Kira-kira sejuta telur seperti itu memasuki Gaza pada bulan Mac, dengan lebih banyak lagi akan datang.
Israel telah mengenakan sekatan ketat ke atas Gaza, sebuah enklaf Palestin yang menempatkan dua juta orang, sejak pertengahan 2007, yang membawa kepada kemerosotan ketara situasi ekonomi dan sosial.
Menurut Pemantau Hak Asasi Manusia Euro-Mediterranean, kira-kira 1.5 juta penduduk Gaza telah menjadi miskin akibat pengepungan Israel. – Xinhua