Harga laici merosot di Vietnam

BAC GIANG, VIETNAM, 9 JUN – Ratusan petani laici mengasingkan timbunan buah tropika di sebuah pasar borong di utara Vietnam hari ini, namun kebanyakan mereka mengeluh mengenai harga meleset tatkala peniaga asing masih dikuarantin di negara.

Selepas melancarkan respons agresif terhadap pandemik koronavirus, kehidupan kembali pulih di negara dan pekerja berkumpul bersama pada subuh di wilayah Bac Giang, motosikal mereka dipasang dengan bakul yang dipenuhi dengan buah manis itu.

Negara komunis itu biasanya mengeksport kira-kira 100,000 tan laici segar bernilai lebih AS$30 juta – kebanyakannya ke China dan juga Jepun, Australia dan AS, setiap musim.

Namun perniagaan meleset pada tahun ini tatkala Vietnam menutup sempadannya.

“Disebabkan pandemik, kami tidak melihat peniaga China dan kami menjual kepada peniaga domestik dan harga adalah amat rendah,” beritahu Nguyen Van Thanh, 35, kepada AFP, menambah separuh daripada hasilnya berakhir di luar negara dalam tahun-tahun biasa.

Pembeli asing cenderung datang ke pasar, perjalanan mengambil beberapa jam dari sempadan China, semasa musim buah selama enam minggu.

Namun media negeri melaporkan pada minggu lalu ratusan peniaga dari China dan Jepun telah dikuarantin selama 14 hari. Meskipun pihak berkuasa berkata mereka akan mempromosi penggunaan domestik, harga telah merosot kepada separuh berbanding tahun lalu.

“Kami telah bekerja keras sepanjang tahun, namun ia tidak cukup untuk hidup,” kata petani Do Van Toan, 47, yang menganggarkan beliau akan memperoleh kurang AS$4,000 pada musim ini. – AFP

Petani Vietnam membawa buah laici untuk dijual kepada peniaga domestik di pasar borong di daerah Luc Ngan, wilayah Bac Giang, Vietnam, kelmarin. – AFP