TUNIS, 13 MAC – Keluarga-keluarga di seluruh Afrika Utara berebut-rebut membeli tepung, suji dan makanan asasi lain ketika harga makanan meningkat susulan serangan Rusia ke atas Ukraine yang mana kedua-duanya merupakan pengeksport penting bekalan gandum ke rantau itu.
Insiden tersebut bertambah teruk ketika tinggal beberapa minggu lagi bulan suci Ramadan bakal tiba, apabila orang Islam berpuasa dari Subuh hingga terbit matahari dan berbuka puasa dengan pelbagai hidangan.
Tunisia, Maghribi dan Libya bersama beberapa negara Arab lain, mengimport kebanyakan gandum mereka dari Ukraine dan Rusia.
Sebilangannya khuatir serangan Rusia boleh membawa kepada kebuluran dan pergolakan dengan banyak peringatan bagaimana kenaikan harga makanan memainkan peranan dalam pergolakan di beberapa buah negara Arab dekad lalu.
Di sebuah pasar raya di bandar Tunisia, tepung atau suji semuanya habis di rak-rak kedai dan hanya tinggal tiga pek gula dekat satu pelekat yang berbunyi: ‘Satu kilo untuk satu pelanggan sahaja’.
Pengurus-pengurus stor berkata masalah itu bukan disebabkan kekurangan bekalan tetapi ‘pembelian panik’.
Pembeli, Houda Hjeij, yang berkata dia tidak dapat mencari beras atau tepung selama dua minggu, menyalahkan pihak berkuasa. – AFP