Harga minyak kekal di bawah AS$40 setong

KUALA LUMPUR, 19 APRIL – Peserta pasaran tidak yakin bahawa pemotongan pengeluaran minyak seperti yang dijanjikan oleh pengeluar utama akan menyelesaikan masalah lebihan bekalan.

Untuk minggu yang baru berakhir, minyak mentah West Texas Intermediate bagi pembekalan Mei susut 8.1 peratus, untuk ditutup pada AS$18.27 setong di Bursa Merkantil New York.

Sebaliknya, penanda aras global, minyak mentah Brent untuk penghantaran Jun menokok 0.9 peratus daripada Khamis lepas kepada AS$28.08 setong pada hari Jumaat selepas jatuh 10.8 peratus pada minggu berkenaan.

Pakar-pakar ekonomi sendiri berasa skeptikal mengenai bagaimana keberkesanan pengurangan ini boleh membantu meningkatkan harga minyak yang telah terjejas akibat wabak COVID-19, ada yang meramalkan harga akan terus lemah untuk satu tempoh yang panjang di bawah AS$40 setong.

Penganalisis Pasaran FXTM Han Tan berkata, faktor terbesar yang memberi kesan ke atas pasaran minyak bagi 2020 adalah COVID-19 selepas usaha untuk mengekang penyebarannya menyebabkan aktiviti ekonomi dunia terganggu, mengakibatkan permintaan minyak jatuh teruk.

“Tempoh wabak akan mempunyai implikasi yang besar ke atas tahap penggunaan global, dan ketidakpastian dalam permintaan ini akan terus menyeret harga minyak,” katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata keluaran akan terus kekal melebihi tahap permintaan walaupun perang harga di antara Arab Saudi dan Rusia akan berakhir jika pengurangan pengeluaran ini secara rasminya, dimulakan pada bulan depan. – Bernama