Harga minyak mungkin tidak dapat kekal

KUALA LUMPUR, 8 JUN – Pasaran minyak kemungkinan tidak dapat mengekalkan paras harga semasa melepasi AS$70 setong dalam jangka masa panjang kerana beberapa faktor struktural, terutamanya berkaitan peralihan tenaga dan potensi bekalan yang besar daripada sumber bukan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Penolong Profesor Perniagaan dan Masyarakat Asia School of Business, Dr Renato Lima de Oliveira menjangkakan harga minyak akan bergerak tidak menentu dalam jangka pendek, bergantung kepada strategi yang diambil oleh pengeluar minyak besar dan juga dasar kerajaan yang mempromosikan peralihan tenaga.

“Jika kita benar-benar bergerak menuju ke arah mencapai sifar bersih pelepasan karbon menjelang 2050 seperti yang diumumkan oleh beberapa negara dan syarikat, kita dapat menjangkakan harga minyak yang jauh lebih rendah,” katanya kepada Bernama.

Satu kaji selidik yang dilakukan baru-baru ini oleh Agensi Tenaga Antarabangsa mengunjurkan harga minyak adalah dalam sekitar AS$35 pada tahun 2030, AS$28 pada 2040 dan AS$24 pada 2050 di bawah senario sifar bersih.

de Oliveira menyata tahun ini, harga minyak pulih melangkaui ramalan penganalisis, bersama-sama komoditi lain yang mencatat kenaikan harga yang besar iaitu tanaman makanan seperti kacang soya dan minyak sawit selain daripada logam seperti tembaga dan besi. – Bernama