Wednesday, April 17, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Harga minyak naik 12 peratus di Sri Lanka

    COLOMBO, 27 FEB – Salah satu pembekal bahan api terbesar di Sri Lanka menaikkan harganya sebanyak 12 peratus kelmarin, ketika krisis tenaga di pulau yang kekurangan wang itu semakin meruncing.

    Lanka IOC, peruncit bahan api yang menyumbang satu pertiga daripada pasaran, berkata ia menaikkan harga diesel yang biasa digunakan oleh pengangkutan awam sebanyak 12 peratus dan petrol pula naik sebanyak 11 peratus.

    Kenaikan itu berlaku selepas kenaikan harga sebanyak tujuh peratus tiga minggu lalu sekali gus akan menambah tekanan ke atas inflasi, yang sudah mencecah rekod tertinggi.

    Pulau tersebut dibelenggu krisis ekonomi selepas sektor pelancongan yang menjadi penyumbang utama dalam mata wang asing merosot disebabkan oleh pandemik COVID-19.

    Sementara itu, kerajaan telah mengenakan larangan import secara meluas pada Mac 2020 dalam usaha menyelamatkan mata wang asing.

    Seorang pekerja mengisi petrol dalam skuter di stesen minyak Lanka IOC di Colombo selepas salah satu pembekal bahan api terbesar di Sri Lanka menaikkan harganya sebanyak 12 peratus, ketika krisis tenaga pulau yang kekurangan wang itu semakin teruk. – AFP

    Negara tersebut kini mengalami kekurangan yang teruk, termasuk bahan api, elektrik, alat ganti automotif dan simen, dengan pasar raya terpaksa mencatu makanan asasi termasuk beras, gula dan tepung susu.

    Kekurangan tersebut mendorong inflasi makanan meningkat kepada 25 peratus pada bulan lalu dengan inflasi secara keseluruhan mencecah 16.8 peratus.

    Tidak ada semakan harga tenaga yang dilakukan segera oleh Ceylon Petroleum Corporation (CPC) yang dikendalikan oleh kerajaan tetapi kebanyakan stesen minyak berkenaan telah kehabisan minyak selama beberapa hari.

    Menteri tenaga, Udaya Gammanpila mengumumkan minggu ini bahawa beliau menjangkakan bahawa kekurangan bahan api akan semakin pulih dalam beberapa hari ini, tetapi memberi amaran bahawa kenaikan harga yang mendadak diperlukan untuk mengekalkan ketahanan CPC yang mengalami kerugian.

    Gammanpila berkata CPC terus mengeluarkan wang yang banyak dan telah pun menanggung hutang melebihi AS$3.5 bilion. Kerugian CPC pada tahun lepas berjumlah AS$450 juta, tambahnya.

    Sebelum ini, kami kekurangan wang untuk mengimport minyak. Kini kami tidak mempunyai rupee yang cukup untuk membeli dolar,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Iran tutup sementara kemudahan nuklear

    TEHRAN, 16 APRIL – Iran menutup sementara kemudahan nuklearnya atas ‘pertimbangan keselamatan’ susulan serangan peluru berpandu dan dron besar-besarannya ke atas Israel pada hujung...