COLOMBO, 18 APRIL – Peruncit minyak utama di Sri Lanka menaikkan harga minyak sebanyak 35 peratus hari ini ketika kerajaan dijangka melancarkan rundingan jaminan keluar dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Sri Lanka dibelenggu krisis ekonomi paling teruknya sejak mencapai kemerdekaan dari Britain pada 1948. Ia telah mendorong kepada masalah kekurangan bahan api, makanan dan ubat-ubatan penting.
Lanka IOC, peruncit minyak yang menyumbang kepada satu pertiga daripada pasaran tempatan, berkata ia menaikkan harga diesel sebanyak 75 rupee kepada 327 seliter sementara petrol dinaikkan sebanyak 35 rupee kepada 367 rupee.
Ceylon Petroleum Corporation, yang menyumbang kepada dua pertiga daripada pasaran dan mengenakan catuan minyak pada minggu lalu, tidak menaikkan harganya, tetapi kebanyakan stesen minyaknya kehabisan minyak.
Lanka IOC, unit Indian Oil Corporation, berkata penurunan mendadak nilai mata wang tempatan memaksanya mengambil tindakan terbaharu, tiga minggu selepas kenaikan sebanyak 20 peratus.
Sejak awal tahun, harga petrol telah meningkat sebanyak 90 peratus sementara diesel – biasanya digunakan untuk pengangkutan awam – telah naik sebanyak 138 peratus.
“Penurunan nilai rupee sebanyak lebih 60 peratus dalam tempoh sebulan lalu mendorong Lanka IOC menaikkan harga jualan runcit sekali lagi berkuat kuasa hari ini,” kata syarikat.
Kenaikan diadakan ketika menteri kewangan baharu Sri Lanka, Ali Sabry memimpin satu delegasi ke Washington dengan tujuan mendapatkan di antara AS$3 bilion dan AS$4 bilion daripada IMF untuk mengatasi krisis baki bayaran dan menambah rizab yang kehabisan.
Kerajaan pada minggu lalu mengumumkan kegagalan membayar hutang asingnya dan Bursa Saham Colombo mengumumkan perniagaan akan dihentikan selama lima hari bermula hari ini di tengah kebimbangan kejatuhan pasaran. – AFP