Harga minyak pada paras rendah 17 tahun

SINGAPURA, 30 MAC – Harga minyak terus menyusut dalam dagangan Asia hari ini dan merosot ke paras terendah 17 tahun, ketika krisis COVID-19 meningkat di seluruh dunia dan situasi perang harga yang berterusan.

Penanda aras minyak Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate jatuh 5.3 peratus kepada AS$20 setong, sementara penanda aras antarabangsa minyak mentah Brent rendah 6.5 peratus kepada AS$23 setong.

Kejatuhan itu dicatatkan selepas kematian akibat pandemik meningkat melepasi 30,000 pada hujung minggu berikutan kes di Eropah dan AS terus meningkat.

Pakar Sains Kanan AS, Anthony Fauci menganggarkan virus itu berpotensi menyebabkan 100,000 hingga 200,000 kematian di AS, sementara Presiden AS, Donald Trump melanjutkan garis panduan penjarakkan sosial sehingga 30 April.

Presiden juga berkata dia menjangkakan negara itu akan ‘menuju ke proses pemulihan’ menjelang 1 Jun – bukan seperti yang disasarkan pada pertengahan April.

Virus itu telah menjangkiti lebih 140,000 di ekonomi terkemuka dunia itu dan mencatatkan lebih 2,400 kematian.

Pasaran minyak merosot beberapa minggu lalu berikutan sekatan perjalanan yang dilaksanakan kerajaan seluruh dunia untuk memerangi penularan COVID-19 menjejaskan permintaan.

Walaupun permintaan jatuh, bekalan meningkat secara dramatik selepas pengeluar utama Arab Saudi dan Rusia terbabit dalam perang harga sama ada untuk mengurangkan output bagi menyokong harga. – AFP