Harga minyak turun didorong kebimbangan pandemik

ANKARA, 23 DIS – Harga minyak merosot hari ini disebabkan oleh kebimbangan varian baharu COVID-19 di United Kingdom (UK), mencetuskan keraguan terhadap pemulihan segera permintaan minyak di samping jangkaan kenaikan stok minyak mentah Amerika Syarikat (AS).

Petunjuk pasaran antarabangsa minyak mentah Brent didagangkan pada AS$49.34 setong pada 0620 GMT dengan penurunan 1.48 peratus selepas ditutup AS$50.08 setong pada Selasa, lapor Agensi Anadolu.

Petunjuk pasaran Amerika, West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$46.33 setong, pada masa sama ia menurun 1.47 peratus setelah ditutup AS$47.02 setong pada sesi sebelumnya.

Harga minyak meneruskan aliran menurunnya meskipun terdapat keyakinan terhadap kelulusan pakej rangsangan AS yang telah lama dinantikan pada Isnin dan dijangka dapat meredakan ketegangan ekonomi dan memulihkan permintaan minyak.

Bagaimanapun, Presiden Donald Trump meminta semakan dibuat terhadap agihan bantuan COVID-19 berjumlah AS$892 juta sebelum bersedia menandatanganinya, yang disifatkannya ada sebahagian ‘perbelanjaan membazir’.

Ketidaktentuan disebabkan kemunculan varian baharu COVID-19 di England, yang dikatakan lebih pantas tersebar daripada virus asal, adalah punca utama penurunan harga minyak.

Ketika banyak negara memutuskan untuk melarang penerbangan dari UK akibat risiko tinggi virus itu, tiga syarikat di AS bersetuju meneruskan khidmat dengan mensyaratkan penumpang dari UK mesti disahkan negatif COVID-19 sebelum mereka berlepas ke New York.

Pada Selasa, Institut Petroleum Amerika (API) mengumumkan anggaran kenaikan 2.7 juta tong dalam inventori minyak mentah AS berbanding jangkaan pasaran iaitu penurunan 3.2 juta tong.

Sekiranya stok minyak mentah meningkat seiring dengan jangkaan API, ini menandakan permintaan minyak mentah merosot di AS, pengguna minyak terbesar dan mempengaruhi harga minyak dunia. – Bernama

Gambar fail menunjukkan telaga minyak Norway. Harga minyak merosot kelmarin disebabkan kebimbangan varian baharu COVID-19 di UK mencetuskan keraguan pemulihan permintaan minyak di samping kenaikan stok minyak mentah AS. – AFP