Harga minyak turun, saham ditutup rendah

MOSCOW, 9 MAC – Harga minyak mentah dunia menurun lebih 30 peratus hari ini, susulan kegagalan pengeluar minyak Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) mencapai kesepakatan mengenai pemotongan pengeluaran minyak yang lebih besar, lapor agensi berita Sputnik.

Sehingga 04:41 GMT, harga minyak mentah Brent untuk penghantaran Mei turun 28.69 peratus – kepada AS$32.28 setong. Nilai niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) pada April pula berkurangan 31.35 peratus kepada AS$28.33 setong.

OPEC yang diketuai Arab Saudi telah mengadakan perjanjian mengenai pengurangan pengeluaran sejak 2016 dengan negara sekutu yang bukan negara anggota, diketuai Rusia.

Pada Jumaat OPEC dan pakatan pengeluarnya, dipanggil OPEC+, mengadakan mesyuarat di Vienna untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat, OPEC+ bersetuju untuk menstabilkan pasaran minyak, tanpa menyentuh mengenai pemotongan pengeluaran.

Seorang lelaki berdiri di hadapan galeri Bursa Saham Australia di Sydney, 9 Mac. Pasaran saham Asia menjunam selepas penurunan harga minyak hari ini ditambah dengan kebimbangan koronavirus dan perang minyak Saudi-Rusia. – AP

Dalam pada itu, saham-saham Asia dan dunia turut diniaga rendah. Bursa saham utama di London dan Frankfurt turun hampir 7 peratus, Tokyo ditutup rendah 5.1 peratus manakala Sydney kerugian 7.3 peratus dan Shanghai ditutup rendah 3 peratus.

Niaga hadapan di Wall Street dihentikan selepas ia turun lebih daripada had harian sebanyak 5 peratus. Hasil bon pula kini diniagakan pada tahap rendah baharu ketika pelabur membelinya sebagai perlindungan.

Penurunan mendadak dalam pasaran saham dan minyak menambah kepada kebimbangan terhadap koronavirus, menggegarkan pasaran dan mengakibatkan pelabur mencari alternatif selamat seperti bon.

“Gabungan kejutan mengakibatkan pasaran kucar-kacir dalam apa yang boleh dipanggil sebagai ‘Black Monday’,” kata Sebastian Clements, penganalisis di platform pembayaran kewangan, OFX.

Dalam pada itu, Agensi Tenaga Antarabangsa (IAE) menjangkakan dunia me-ngalami penurunan tahunan pertama penggunaan minyak dalam lebih daripada sedekad akibat impak koronavirus.

Dalam laporan terbaharunya – yang tidak mengambil kira perang harga minyak selepas Arab Saudi dan Rusia gagal untuk menyetujui pengurangan pengeluaran – agensi itu mengurangkan ramalan permintaan semasa sebanyak 1.1 juta tong sehari dalam senario kes asasnya ketika koronavirus merebak ke seluruh dunia.

Itu akan menjadi pengurangan tahunan kecil sebanyak 90,000 tong sehari, yang pertama semenjak 2009.

Ramalan itu bagaimanapun berdasarkan tanggapan bahawa China memastikan wabak di sana terkawal menjelang akhir bulan ini dan langkah-langkah pengekangan di mana-mana sahaja tidak membawa impak besar ke atas permintaan. – Bernama/AFP