Harga penutup mulut dikurangkan

PUTRAJAYA, 27 OKT – Harga siling runcit baharu bagi penutup mulut dan hidung jenis tiga lapisan diturunkan kepada 70 sen daripada RM1 sekeping, berkuat kuasa Ahad ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Al-exander Nanta Linggi berkata harga maksimum penutup mulut dan hidung jenis tiga lapis di peringkat borong pula diturunkan kepada 65 sen sekeping daripada 95 sen.

Mengambil kira keperluan untuk rakyat terus mengamalkan norma baharu teru-tama penggunaan penutup mulut dan hidung yang berterusan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat kajian semula harga penutup mulut dan hidung melibatkan pengeluar tempatan dan pengimport, katanya.

“Harga baharu ini akan dikuatkuasakan melalui Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” menurutnya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Nanta berkata harga siling runcit bagi penutup mulut dan hidung satu lapisan pula ditetapkan tujuh sen sekeping, penutup mulut dan hidung dua lapisan 20 sen sekeping manakala penutup mulut dan hidung N95 pada RM6 sekeping.

Sementara itu, beliau berkata KPDNHEP telah menjalankan sebanyak 67,217 pemeriksaan dan pemantauan harga serta bekalan bagi penutup mulut dan hidung di seluruh negara sejak 29 Jan sehingga Ahad lepas.

“Tindakan pemeriksaan tersebut berjaya menghasilkan sebanyak 73 kes dengan nilai rampasan RM543,737 dan melibatkan jumlah kompaun sebanyak RM518,400,” katanya.

Peniaga yang gagal mematuhi perintah di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 boleh dikenakan penalti seperti bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum.

Pesalah individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali atau dikompaun sehingga RM50,000. – Bernama