Harga sayur naik

Oleh Azlan Othman

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 DIS – Hujan monsun yang lebat dalam masa beberapa hari kebelakangan dan mengakibatkan banjir di sebahagian tempat di negara ini, turut menjejaskan bekalan sayuran berdaun hijau dan menaikkan harganya.

Menurut salah seorang petani, harga pak choy naik $1.50 kerana hujan lebat yang menjejaskan bekalan dan kualiti sayuran tersebut.

“Permintaan adalah tinggi pada masa ini bagi sayur-sayuran berdaun hijau kerana kurangnya bekalan di pasar raya. Ia sebelumnya dijual pada harga $4.50 sekilo namun kini naik $6 sekilo,” tambah petani itu yang enggan dikenali.

Dalam pada itu, seorang peniaga pasar raya mengatakan tiada bekalan sayur sawi untuk dipasarkan sementara waktu.

Musim monsun hujung tahun di negara ini belum lagi reda dan beberapa buah kawasan berdepan kesan daripadanya, dengan sebahagiannya dibanjiri air sekali gus menjejaskan tanaman.

Sayuran berdaun hijau yang ditanam di salah sebuah ladang sayur. Bekalan sayur seperti pak choy dan sawi terhad kebelakangan ini kerana musim hujan.

Dalam tinjauan wartawan, para peniaga mengatakan pasar basah kemungkinan besar terjejas teruk berbanding pasar raya kerana ia sering bergantung kepada satu pembekal atau bekalan berkumpulan terhad, mengatakan harga turun naik akibat cuaca buruk berlaku setiap tahun.

Seorang peniaga mengatakan beberapa keluarga turut memilih untuk menanam sendiri sayuran di laman belakang rumah mereka disebabkan laporan bahawa ladang-ladang sayur ditenggelami air yang tular terutamanya pada musim hujan ini.

“Namun perniagaan agak lembap kebelakangan ini memandangkan ramai rakyat Brunei mengambil peluang musim cuti untuk melancong merentas sempadan sama ada ke Kota Kinabalu atau Miri atau di negara-negara jiran serantau. Sayur-sayuran masih dijual pada harga murah di sini dan belum ada kenaikan harga yang ketara,” tambahnya.

Dalam pada itu, Jabatan Kajicuaca Brunei dalam kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, menjelaskan bahawa Negara Brunei Darussalam kini berada dalam bulan pertama monsun timur laut yang biasanya akan menerima turunan hujan tinggi.

Hujan lebat atau ribut petir dijangka berlaku pada siang atau malam hari.