Thursday, April 25, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Harga sekilogram ayam dijangka cecah lebih RM10

    MELAKA, 17 JUN – Persekutuan Persatuan-persatuan Penternak Malaysia (FLFAM) menjangkakan harga sekilogram ayam akan mencecah lebih RM10 selepas berakhirnya skim harga maksimum runcit ayam dan pemberian subsidi kepada penternak ayam pada 30 Jun ini.

    Penasihat FLFAM Datuk Jeffery Ng Choon Ngee berkata penamatan kedua-dua insentif daripada kerajaan itu sekali gus akan menyebabkan kos keseluruhan yang ditanggung penternak akan meningkat melebihi RM7 sekilogram selaras dengan peningkatan harga makanan ayam.

    “Sekarang ini, harga sekilogram ayam adalah RM8.90 iaitu harga ayam segar dari ladang adalah RM5.60 sekilogram tetapi sekarang ini kami masih mendapat subsidi sebanyak RM1.40 bagi sekilogram ayam.

    “Harga dedak hari ini satu beg lebih kurang RM130… paling murah. Satu kilogram dedak pula lebih kurang RM2.60. Ini hanya dedak sahaja dan bagi kira-kira 1.7kg ayam, kos dedak sudah lebih RM4 manakala anak ayam yang kami beli berharga RM2.30 hingga RM2.40 seekor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

    Beliau berkata penternak bukan sahaja perlu menanggung harga pembelian anak ayam dan dedak, tetapi juga perlu mengambil kira kos lain seperti gaji, ubat vaksin dan elektrik.

    Katanya, justeru FLFAM berharap dapat melakukan perbincangan dengan kerajaan terutama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bagi menentukan harga baharu ayam yang munasabah dan mengambil kira kepentingan rakyat serta penternak ayam di negara ini.

    Jeffery Ng berkata perbincangan berkenaan penting bagi memastikan tiada pihak akan mengambil kesempatan terhadap penamatan kedua-dua insentif itu dengan menaikkan harga sewenang-wenangnya. – Bernama

    Datuk Jeffery Ng Choon Ngee bercakap kepada pemberita berhubung isu harga ayam pada sidang media di sini kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...