KUALA LUMPUR, 4 MAC – Konflik ketenteraan Rusia dan Ukraine dijangka melonjakkan harga tenaga, khususnya di Eropah dengan inflasi berkaitan unjuran yang dilepaskan menerusi pelbagai produk dan perkhidmatan berintensif tenaga, menurut Moody Analytics.
Ahli Ekonomi Kanannya, Tim Uy berkata ini berikutan kedudukan Rusia yang menguasai 12 peratus daripada bekalan minyak dunia serta 17 peratus gas asli.
“Negara itu juga merupakan pembekal utama paladium dan gandum manakala Ukraine menyumbang sebahagian besar daripada bekalan neon dunia.
“Oleh itu, dari segi penilaian risiko negara, impak buruk paling ketara di kebanyakan negara Eropah adalah yang negara penerima hasil minyak dan gas asli Rusia. Ini kerana penghantarannya dilakukan secara darat dan sebarang usaha mendapatkan sumber alternatif adalah mencabar, terutama dalam tempoh singkat ini,” katanya dalam analisis mengenai impak krisis Rusia dan Ukraine ke atas rantaian bekalan global.
Uy berkata risiko terbesar dihadapi rantaian bekalan global juga telah beralih daripada pandemik COVID-19 kepada konflik ketenteraan Rusia dan Ukraine serta ketidakpastian geopolitik dan ekonomi yang berpunca daripada krisis tersebut.
“Amerika Syarikat misalnya tidak bergantung kepada import langsung tenaga dari Rusia atau Ukraine, namun berdepan pendedahan tidak langsung menerusi barangan dan perkhidmatan yang diimport dari Eropah serta Asia yang dihasilkan menggunakan tenaga Rusia.
“China dan India lebih banyak terdedah kepada tenaga Rusia, namun susulan sekatan ke atas eksport Rusia di serata dunia, negara-negara yang ada kontrak dengan Rusia akan mempunyai kuasa menawar dalam rundingan dan dijangkakan tidak mengalami peningkatan harga yang ketara,” katanya.
Menyentuh risiko terhadap industri, Uy berkata industri semikonduktor dijangka terjejas berikutan masalah kekurangan cip global ketika pandemik akibat faktor kerja secara jarak jauh dan mobiliti atau pergerakan yang menyebabkan lonjakan pendigitalan di seluruh dunia. – Bernama