KOTA KINABALU – Azmah Nordin, 64, yang berasal dari Kedah berhijrah ke negeri di bawah bayu Sabah, hampir 49 tahun lalu mengikuti suaminya, Hussain Othman, anak kelahiran Papar.
Ketika mengahwini cinta hatinya itu, Azmah tidak tahu ayah dan ibu suaminya mempunyai darah campuran yang begitu unik.
Bapa mentuanya, Datuk Hj Othman Yousof berketurunan Cina dan Kadazandusun sementara ibu mentuanya, Ridjah Mukri mempunyai darah campuran Jawa dan Cina.
“Kalau difikirkan, keluarga besar kami boleh dikatakan contoh Keluarga Malaysia, tambahan anak lelaki saya, Husaini mengahwini seorang gadis Melayu Brunei yang tinggal di Kimanis (Daerah Papar).
“Anak perempuan saya, Norazlina pula mendirikan rumah tangga dengan jejaka Bajau Idaan dari Lahad Datu,” kongsi Azmah dengan Bernama baru-baru ini.
Menurut Azmah, beliau berasa begitu teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di negeri kelahiran suaminya itu.
“Pada mulanya kami tinggal di Tanjung Aru di Kota Kinabalu dan rumah kami rumah atas air laut. Pertama kali saya tinggal dalam rumah macam tu dan seronoknya saya boleh melihat sayup-sayup puncak Gunung Kinabalu dari rumah kami,” katanya.
Azmah dan Hussain, yang kini menetap di Kepayan, Kota Kinabalu, berkenalan pada tahun 1973 sewaktu Hussain mengikuti pengajian di Institut Teknologi Telekomuniksi di Petaling Jaya, Selangor. Hussain menyewa bilik di belakang rumah Azmah.
Berhijrah ke Sabah memberi peluang untuk Azmah menerokai bidang penulisan dengan cubaan pertamanya menyumbang rencana untuk akhbar tempatan.
Beliau kemudiannya mencuba bidang penulisan novel, dan cerita pendek. Plot cerita kebanyakannya berkisar kepada subjek kegemarannya iaitu kepelbagaian etnik Sabah.
Keindahan pelbagai budaya
“Sewaktu tinggal di Semenanjung, saya memang tidak terdedah kepada kebudayaan kaum lain (di Malaysia).
“Tapi, bila berada di Sabah, saya terus jatuh cinta dengan keindahan budaya pelbagai etnik di negeri ini termasuk tarian, alat muzik dan makanan tradisional.
“Sabah sesungguhnya bertuah kerana mempunyai pelbagai etnik yang kaya dengan adat tradisi serta budaya.
“Rakyat di negeri ini amat menyayangi kepelbagaian yang ada dan mereka menghormati perbezaan ini serta agama yang dianuti. Awda boleh lihat suasana penuh harmoni ini di mana sahaja awda pergi di Sabah,” katanya.
Bakat penulisan Azmah terserlah apabila beliau dinobatkan sebagai penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 2009.
Anugerah itu disampaikan secara tahunan kepada penyair dan penulis di rantau ASEAN).
Setakat ini, Azmah menghasilkan lebih 60 buah buku, kebanyakannya berdasarkan penyelidikan beliau mengenai masyarakat pelbagai etnik Sabah.
Menurut Azmah, setiap kali beliau kembali ke Semenanjung, ramai yang menganggap beliau adalah orang Sabah kerana bercakap Bahasa Melayu dengan loghat Sabah yang pekat.
“Di Sabah pula, ada orang tempatan yang ingat saya ini keturunan Cina, mungkin saya nampak macam orang Cina,” katanya, sambil tersenyum.
Memperkayakan pengalaman
Sementara itu, wartawan Azrone Sarabatin, 46, yang tinggal di Kota Kinabalu dan mengendalikan portal beritanya sendiri, pernah bekerja di Kuala Lumpur dan banyak belajar tentang aspek masyarakat berbilang kaum di Semenanjung Malaysia.
Latar belakang Azrone sememangnya menarik.
Ayah dan ibu beliau mempunyai darah campuran Bajau, Melayu Brunei, Kadazandusun serta Irannun. Beliau yang bekerja sebagai wartawan akhbar Berita Harian kemudiannya merantau ke Kuala Lumpur pada tahun 1999 selepas ditukarkan ke ibu pejabat akhbar berkenaan.
Banyak kenangan indah beliau sepanjang bekerja selama 10 tahun di Semenanjung Malaysia.
“Saya masih ingat tugasan saya untuk menulis tentang komuniti Orang Asli dan Melayu di Pahang, Johor dan Selangor. Orang yang saya temui memberitahu saya mereka pernah bekerja di Sabah dan amat rindu untuk menghubungi kawan lama mereka di sana.
“Saya juga berjumpa dengan seorang pesara guru di Kampung Ulu Benut, Simpang Renggam, Johor. Beliau mengalirkan air mata sebaik sahaja saya beritahu saya berasal dari Sabah. “Beliau pernah bekerja di Tuaran, Sabah pada lewat 1970an dan banyak menyimpan kenangan manis bekerja di sana,” katanya.
Menurut Azrone, beliau juga pernah tinggal serumah selama sebulan dengan seorang rakan India di Taman Medan, Petaling Jaya.
“Rakan saya itu baru sahaja memeluk agama Islam dan beliau menganggap saya sebagai anggota keluarganya sendiri. Saya juga berkawan dengan beberapa orang Cina, Orang Asli dan Serani, ” tambahnya.
Bagi Azrone, peluang bekerja di Semenanjung banyak membantu beliau untuk lebih memahami masyarakat majmuk Malaysia serta perkara sensitif yang wujud dalam masyarakat berkenaan.
Pengalaman itu, katanya, turut membantu karier beliau sebagai seorang wartawan.
Menyantuni kepelbagaian
Sementara itu, pembantu menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Sabah, Datuk Joniston Bangkuai berkata, Sabah mempunyai lebih 40 kumpulan etnik dan masing-masing mempunyai kepercayaan tersendiri.
Menurut beliau, kemampuan rakyat Sabah untuk hidup rukun dan damai terutama dengan mereka yang dari negeri lain adalah selari dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
“Kita perlu meraikan kepelbagaian ini dan tidak sesekali menganggap ia sebagai batu penghalang untuk kita saling bekerjasama. Keindahan ini yang kita perlu beri tumpuan demi mengekalkan perpaduan sesama kita,” katanya.
Joniston menekankan bahawa setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum dan agama, bertanggungjawab untuk mengekalkan semangat toleransi dan tiada ada ruang untuk mana-mana individu yang mahu menggugat keamanan negara ini.
“Toleransi agama adalah penting dan rakyat Sabah memaklumi perkara ini … malahan ia adalah sebahagian daripada ciri penting keharmonian kehidupan kami.
“Kami bagaikan sebuah keluarga. Di sebalik perbezaan kepercayaan serta nilai, kami kekal komited untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan serta memperkukuhkan ikatan persaudaraan antara kami,” tambahnya.- Bernama