Oleh Daniel Lim
Gambar serahan Kelab Lions Belait
BELAIT, 7 OKT – Sebagai sebahagian daripada acara tahunan untuk memperingati Hari Penglihatan Sedunia, Kelab Lions Belait telah melaksanakan Projek Signature Vision dengan pemeriksaan mata bagi pelajar-pelajar Sekolah Chung Hwa Labi, kelmarin.
Bermula sebagai sebahagian daripada SightFirstCampaign Kelab Lions Antarabangsa pada 2000, projek berkenaan diadakan setiap tahun oleh Kelab Lions Belait bersempena Hari Penglihatan Sedunia yang jatuh pada 8 Oktober pada tahun ini.
Dalam melaksanakan projek itu, satu rombongan telah pergi ke pedalaman Belait di mana sekolah tersebut terletak untuk menjalankan pemeriksaan mata.
Turut menyertai rombongan tersebut ialah pengerusi penganjur, Joseph Teo yang juga pengerusi daerah bagi penglihatan dan pengerusi keahlian kelab yang mengetuai kumpulan berkenaan berserta enam orang ahli.
Secara keseluruhannya, 12 orang murid Tahun 1 hingga 6 sekolah berkenaan telah diperiksa dengan tiga daripada mereka memerlukan kaca mata berpreskripsi. Semua kaca mata berkenaan disediakan dan ditaja oleh Visioncare, Kuala Belait yang akan menyerahkannya pada satu tarikh kemudian.
Sebagai penghargaan, pihak sekolah telah memberikan cenderahati kepada wakil kelab tersebut atas usaha mereka membantu pendidikan pelajar dengan memberikan hadiah penglihatan yang jelas, yang bukan sahaja memanfaatkan perjalanan akademik mereka malah kehidupan harian.