Hargai pelari ABDB, BFB

Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Suruhanjaya Tinggi British

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 MAC – Pesuruhjaya Tinggi British ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Richard Lindsay mengadakan Majlis Resepsi Penghargaan bagi pelari yang menyertai acara Larian Pantai Brunei-UK baru-baru ini pada majlis yang berlangsung di kediaman rasminya.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tinggi British di Negara Brunei Darussalam, hari ini, hadir selaku tetamu khas pada majlis itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan bin Pengiran Haji Mahmud.

Resepsi itu turut dihadiri oleh Pemerintah Angkatan Bersama ABDB, Brigedier Jeneral (U) Dato Seri Pahlawan Mohd Sharif bin Dato Paduka Haji Ibrahim dan Pemerintah British Forces Brunei (BFB), Leftenan Kolonel Dave Pack MBE dan semua pelari dari ABDB dan BFB yang mengambil bahagian dalam larian itu.

Larian Pantai Brunei-UK telah berjaya mengumpul sumbangan berjumlah $13,700 daripada penaja yang bermurah hati di mana sumbangan itu disalurkan terus kepada dua penerima iaitu SMARTER Brunei dan Plastic Oceans UK.

Dalam kata alu-aluannya, TYT Richard Lindsay dipetik menyatakan penghargaan atas sokongan yang diberikan oleh ABDB dan BFB semasa larian tersebut di mana tanpa sokongan mereka, rintangan yang perlu dilalui serta keselamatan pelari tidak akan dapat dipastikan.

Beliau turut menyatakan penghargaan terhadap galakan dan persahabatan daripada setiap pelari yang sama-sama mengambil bahagian dalam acara Larian Pantai Brunei-UK.

Komitmen para pelari, jelasnya, merupakan pembakar semangat baginya untuk menguji kebolehannya serta menamatkan larian yang menguji ketahanannya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada lima pelari yang berjaya menamatkan larian dari Kuala Belait ke Muara iaitu PW2 Mohd Norisman bin Ismail, Sjn Mastani bin Yussap, Sjn Mohd Azrol bin Haji Awang Aji, Sld Norliham bin Haji Hamidon dan Sld Awangku Nordinie Ayasy bin Pengiran Ibrahim. Di majlis itu, TYT Richard Lindsay turut menyampaikan sijil penghargaan kepada ABDB, BFB dan para pelari yang menyertai acara larian berkenaan.

Kenyataan menyatakan, sumbangan yang diserahkan untuk SMARTER itu akan membolehkan pusat tersebut untuk membeli peralatan yang diperlukan bagi kesejahteraan dan perkembangan kanak-kanak autistik. Kenyataan turut menjelaskan bahawa TYT Richard Lindsay berjaya menarik perhatian mengenai pencemaran plastik di pantai-pantai Brunei dengan menjadi orang pertama untuk berlari sepenuhnya di pantai Brunei sejauh 130 kilometer. Beliau berjaya melaksanakan larian itu dengan sokongan daripada ABDB dan BFB.

TYT Richard Lindsay menyampaikan sijil penghargaan kepada ABDB yang diterima oleh Mejar Jeneral Pengiran Dato Paduka Seri Aminan.
TYT Richard Lindsay bergambar ramai bersama anggota-anggota ABDB dan BFB.