Tuesday, October 4, 2022
27.6 C
Brunei

Hargai peluang

-

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 OGOS – Pelaburan pihak kerajaan dalam bidang pendidikan termasuklah penyediaan skim-skim biasiswa dengan tujuan melahirkan generasi pelapis yang suatu hari nanti akan memimpin dan memacu pertumbuhan sosioekonomi negara.

Oleh itu, adalah diharapkan para pelajar sentiasa mensyukuri, menghargai dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan itu.

Dalam merealisasikan hasrat kerajaan itu, adalah diharapkan supaya penerima biasiswa kerajaan sama ada yang akan mengikuti pengajian di luar atau dalam negara untuk menanai tanggungjawab sebagai pelajar dengan sentiasa memberi tumpuan sepenuhnya kepada pengajian diikuti.

“Di samping itu, tanamkanlah tekad dalam diri untuk menabur bakti kepada bangsa dan negara serta kembali ke tanah air dan berkhidmat dengan kerajaan setelah selesai mengikuti pengajian masing-masing nanti.”

Harapan dan seruan itu disampaikan oleh Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan, Jabatan Pengurusan Biasiswa, Awang Julaihi bin [email protected] (gambar) dalam ucapan alu-aluannya pada Majlis Penganugerahan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negara dan Skim Biasiswa Khas Dalam Negara ke Sekolah-sekolah Antarabangsa Sesi Akademik 2022/2023 yang berlangsung di Dewan An-Naura, Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan penganugerahan biasiswa kerajaan kepada para penerima pada majlis penganugerahan biasiswa kerajaan yang berlangsung di Kompleks Yayasan.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian sijil-sijil penganugerahan biasiswa ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh.

Turut hadir pada majlis itu ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Haji Azman bin Ahmad; Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Dr Chin Wei Keh; pengarah, para pegawai kanan dan pegawai Kementerian Pendidikan, ibu bapa pelajar serta pegawai dari sekolah-sekolah antarabangsa.

Awang Julaihi dalam ucapannya lagi memetik titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Northern Ireland pada 1 Mei 2011.

Baginda bertitah, “Tidak kira sama ada mereka belajar sendiri, atau apatah lagi yang terikat dengan biasiswa kerajaan, mereka tidaklah boleh mengelak tanggungjawab terhadap kerajaan apabila mereka telah lulus nanti.

“Tetapi malangnya, sudah ada kedengaran orang yang memilih tempat lain dari negaranya sendiri untuk berkhidmat. Dengan apa pun alasan, perkara ini adalah tidak elok. Kerana ia bertentangan dengan etika taat setia atau juga boleh disebut sebagai tidak patriotik.

“Jika kita padat dengan kesetiaan dan memiliki semangat patriotik, sudah barang tentu perkara ini tidak mungkin berlaku. Kepentingan negara tentu sahaja akan diutamakan melebihi daripada kepentingan diri sendiri.”

Beliau juga menasihatkan para pelajar sama ada yang akan mengikuti pengajian di luar negara mahupun di sekolah-sekolah antarabangsa dalam negara untuk sentiasa mengekalkan jati diri Brunei yang berpaksikan kepada konsep Melayu Islam Beraja.

Awang Julaihi menekankan, “Janganlah sekali-sekali pelajar terbabas dari landasan MIB dalam keghairahan mengejar kejayaan di luar sana. Usahlah para pelajar mudah terikut-ikut dengan budaya yang kurang elok di luar sana nanti bak kata peribahasa Melayu, yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan.”

Pada majlis itu, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyempurnakan penyampaian sijil penganugerahan biasiswa kepada pelajar-pelajar di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negara bagi melanjutkan pengajian di institusi-institusi luar negara dan Skim Biasiswa Khas Dalam Negara untuk mengikuti pengajian ke peringkat menengah dan pra-universiti di Sekolah Antarabangsa Jerudong (JIS) dan Sekolah Antarabangsa Brunei (ISB) bagi sesi akademik 2022/2023.

Seramai 48 orang pelajar telah dianugerahkan Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia di bawah Skim Biasiswa ke Luar Negara di peringkat ijazah sarjana muda dan 32 orang penerima biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Perubatan dan Pergigian Universiti Brunei Darussalam bersama partner medical dan dental school di luar negara.

Di samping itu, seramai 21 orang pelajar telah dianu-gerahkan dengan biasiswa kerajaan di bawah Skim Biasiswa Khas Dalam Negara bagi peringkat menengah dan 18 orang pelajar dianugerahkan bagi pengajian peringkat pra-universiti.

Artikel sebelum iniTiga bangunan diarah roboh
Artikel seterusnyaUNISSA lancar 28 buku baharu
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -