Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Hargai peluang pendidikan untuk corak masa depan

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan Dayang Maysa’

    Peluang keemasan yang diterima bagaikan satu dalam sejuta sehingga menjadi pemangkin diri untuk lebih berani keluar dari zon selesa, lebih-lebih lagi dalam meniti dunia pendidikan yang semakin mencabar sehingga berjaya mengorak langkah ke alam kerjaya sebenar.

    Begitulah gambaran pengalaman yang dirasai oleh Dayang Siti Nurul An’ Maysa’ Aminaa binti Haji Kifli atau lebih senang disapa dengan nama Dayang Maysa’ selaku salah seorang alumni pelajar Projek Kelas Tuisyen di bawah Program Intervensi Pendidikan (PIP) Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sekitar tahun 2009 sebagai persediaan sebelum menduduki Penilaian Sekolah Rendah (PSR).

    Meraih keputusan 5A dalam PSR berkenaan telah membawa beliau menggapai rezeki tawaran yang bersilih ganti dengan menerima biasiswa Yayasan untuk melanjutkan pendidikan peringkat menengah di Sekolah Menengah YSHHB dari Tahun 1 hingga berjaya meraih 5 ‘O’ dalam Peperiksaan GCE O Level.

    “Semua dalam satu, itulah yang mampu saya katakan ketika mengimbas kenangan semasa masih menuntut di Sekolah Menengah YSHHB. Kursus pendidikan diperoleh dengan sangat baik dan begitu juga keperluan-keperluan lain meliputi pemberian buku-buku teks dan alat-alat tulis; pakaian rasmi sekolah; pengangkutan dan makanan serta minuman sehari-hari sentiasa dipenuhi dari semasa ke semasa,” luahnya yang baru-baru ini telah menerima tawaran pekerjaan sebagai Penggubal dan Penolong Penyelaras Projek di Syarikat Regional Consultants secara sepenuh masa.

    Meskipun Dayang Maysa’ pernah meneruskan pendidikannya di Pusat Tingkatan Enam Sengkurong (PTES) pada waktu yang singkat, namun perjalanan beliau untuk meningkatkan prestasi diri tidak berhenti begitu sahaja malah beliau terus melangkah dalam memenuhi bidang yang diminatinya khususnya dalam kejuruteraan pembinaan di salah sebuah sekolah di Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE).

    Setelah berjaya menamatkan sesi pembelajaran di IBTE selama dua tahun, Dayang Maysa’ kemudian berpeluang menyertai ARMECS Bridging Programme yang juga di bawah jalinan kerjasama Program Perantisan i-Ready sekitar tahun 2020 sehingga memperolehi kerjaya secara rasmi di syarikat beliau bertugas pada masa ini.

    Dayang Maysa’ (empat dari kanan, barisan tengah) kini merupakan pemegang sijil dalam bidang Kejuruteraan Pembinaan di salah sebuah sekolah di IBTE beberapa tahun lalu.
    Setelah berjaya menamatkan perjuangan menerusi sesi pembelajaran di IBTE selama dua tahun, Dayang Maysa’ kemudian berpeluang menyertai ARMECS Bridging Programme yang juga di bawah jalinan kerjasama Program Perantisan i-Ready sekitar tahun 2020.

    Kelas tuisyen lebih efektif
    Berkongsi luahan tulus ketika mengenang pengalaman mengikuti Projek Kelas Tuisyen di bawah PIP, Dayang Maysa’ menjelaskan kegigihan guru-guru dalam memberi tunjuk ajar dalam setiap subjek yang diketengahkan itu pastinya banyak membantu beliau dan rakan-rakan seperjuangannya untuk memahami isi pembelajaran dengan lebih efektif dan efisien meskipun hanya dilaksanakan pada setiap hari Ahad dalam seminggu.

    Kini, beliau yang bakal meneruskan pendidikan di peringkat Higher National Diploma (HND) dalam jurusan Interior Design di Politeknik Brunei secara sambilan pada masa terdekat ini turut berkongsi bahawa sepanjang meniti pembelajaran di bawah PIP YSHHB berkenaan, ia secara tidak langsung meningkatkan kebolehan dirinya untuk lebih berkeyakinan dalam berbahasa Inggeris dari sebelumnya sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi secara menyeluruh.

    Tambahnya, keselesaan kemudahan yang disediakan pada masa itu juga menjadikan pembakar semangatnya untuk terus menimba ilmu sehingga penat lelah yang dirasai pun hilang begitu sahaja.

    Genggam peluang sebaiknya
    Menyaksikan perlaksanaan PIP YSHHB selama ini, Dayang Maysa’ berkata ia merupakan salah satu pendekatan terbaik untuk membuka minda dan jiwa anak bangsa khususnya golongan pelajar agar lebih menghargai peluang pendidikan yang disediakan untuk sama-sama mencorak diri menjadi insan-insan yang berguna demi agama, bangsa dan negara lebih-lebih lagi ke arah mencapai wawasan negara 2035.

    Tambahnya, hal ini demi mendukung hasrat kerajaan dalam sama-sama melahirkan rakyat yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi.

    “Banyak atau sedikitnya peluang keemasan yang kita peroleh untuk pembangunan mahupun perkembangan prestasi diri sepertimana yang disediakan oleh PIP YSHHB ini, maka jangan sesekali pernah mensia-siakan peluang yang ada kerana ia tidak akan datang kembali.

    “Genggamlah prinsip ini dalam kehidupan sehari-hari bahawa kegagalan terbesar adalah takut untuk membuat sesuatu kerana dari sesebuah kegagalan itu terselit hikmah yang mampu mendewasakan diri bagi menjadi peribadi yang lebih baik lagi,” luahnya dengan nada kesyukuran.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...