Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    Hargai pengorbanan suri rumah

    Dalam suasana Syawal yang kian berada di penghujungnya dan sempena Hari Keluarga yang kita sambut baru-baru ini, saya ingin melahirkan penghargaan kepada suri rumah tangga.

    Ini kerana ketika menghadiri rumah terbuka Aidilfitri hasil undangan beberapa rakan di sekitar Daerah Tutong, hal suri rumah telah menjadi perhatian saya.

    Kunjungan raya tersebut merupakan titik pertemuan yang mempertemukan mata yang lama terpisah, dengan pertanyaan dan khabar bertalu-talu.

    Lantaran itu, seperti biasa, pertanyaan pertama yang diajukan adalah mengenai anak-anak, pekerjaan dan tak terkecuali pertanyaan ringan lelaki mengenai jumlah isteri yang kini dimiliki.

    Dalam suasana riuh itu, seorang rakan saya bertanya kepada rakan lain mengenai pekerjaan isterinya. Dengan rendah hati, dia menjawab bahawa isterinya adalah seorang suri rumah sepenuh masa.

    Namun, terdapat rakan yang ingin tahu mengenai bagaimana mereka meneruskan hidup dalam suasana demikian dengan hanya suami sebagai satu-satunya pencari rezeki.

    Nah, seketika itu, teringat pula saya akan bait-bait kalimat mutiara yang pernah disampaikan oleh arwah nenek saya yang berbunyi: “Pengorbanan adalah nyala cinta dan tugas suri rumah adalah ladang kasih.”

    Rentetan itu, bila kita renungkan sejenak, sebenarnya, pasangan yang memilih untuk menjadikan isteri sebagai suri rumah sepenuh masa telah membuktikan kebijaksanaan mereka terutama dalam hal makanan, penjagaan anak-anak dan perjalanan harian.

    Namun, pada zaman ini, banyak yang meremehkan peranan suri rumah, seolah-olah mereka tidak memberikan sebarang sumbangan. Lantas, hakikat sebenar ialah ada ramai suri rumah yang ingin bekerja atau kembali ke alam pekerjaan, namun atas sebab beberapa kekangan tertentu yang membuat mereka merasa bertanggungjawab untuk menjaga keluarga dengan cara yang tersendiri.

    Natijahnya, seperti wanita yang masih bekerja, mungkin di antara mereka ada yang berharap suatu hari nanti dapat menjadi seorang suri rumah sepenuh masa. Bahkan saya sendiri pernah merasai tugas menjadi seorang suri rumah dan hakikatnya, ia bukanlah tugas yang mudah, bahkan lebih meletihkan daripada bekerja sepenuh masa di pejabat.

    Justeru, waktu 24 jam itu sering tidak mencukupi untuk menyelesaikan segala tugasan di rumah. Tuntasnya, kepada para suami di luar sana, usah malu dengan pekerjaan pasanganmu, hargailah pengorbanan isteri kalian dalam menjaga setiap keperluan keluarga, bak nukilan sebuah pantun:

    Wanita itu umpama bunga,
    menjadi penyeri di dalam taman,
    Siramilah ia dengan baja,
    Bukan racun yang merosakkan.

    Mahligai Ibu

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...