Thursday, January 23, 2025
23 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hargai semangat, pengorbanan sukarelawan

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 5 DIS – Sukarelawan adalah denyutan nadi kemajuan yang menunjukkan di mana tindakan kebaikan kecil boleh membawa kepada perubahan yang besar.

    Pada Hari Sukarelawan Antarabangsa ini marilah kita raikan semangat luar biasa mereka yang telah mendedikasikan masa dan tenaga untuk meningkatkan kemajuan komuniti.

    Perkara itu dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad sempena Sambutan Hari Sukarelawan Antarabangsa 2024, hari ini.

    Yang Berhormat Dato berkata tahun ini penumpuan diberikan kepada pelbagai usaha ke arah mencapai inisiatif pembangunan mampan. Ia amat bertepatan dengan matlamat dalam mencapai Wawasan Brunei 2035, khususnya dalam memperkukuhkan masyarakat yang inklusif, harmoni dan lestari.

    “Fokus tahun ini mengingatkan kita bahawa sukarelawan adalah agen perubahan, yang memainkan peranan penting dalam sama-sama mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). Di era yang penuh dengan cabaran baik di peringkat nasional, serantau dan global seperti perubahan iklim, ketidaksamaan sosial dan kemiskinan, sukarelawan menjadi pemangkin kepada solusi kreatif dan praktikal dalam masyarakat,” kata beliau.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi menyeru agar lebih ramai akan melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan terutama belia.- GAMBAR OLEH YUSRIN JUNAIDI

    Selain itu, sukarelawan bukan sahaja bertindak sebagai penyokong masyarakat tetapi juga sebagai rakan strategik dalam usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan negara yang inklusif.

    Mereka membantu dalam memperkukuhkan hubungan sosial, memperbaiki taraf hidup komuniti, memacu perubahan positif dan menggerakkan usaha bersama ke arah kemapanan jangka panjang.

    “Di peringkat kebangsaan, saya berasa amat bangga dengan penglibatan aktif para sukarelawan belia kita melalui platform seperti Aplikasi Mengalinga dan inisiatif lain di bawah agensi-agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta,” tambah Yang Berhormat Dato.

    Menurut beliau, kerjasama antara generasi dalam bidang sukarelawan juga tidak kurang pentingnya dalam membina komuniti yang harmoni dan berdaya tahan. Setiap generasi membawa perspektif, pengalaman dan tenaga yang unik, yang apabila digabungkan, mampu menghasilkan impak yang lebih besar kepada masyarakat.

    Golongan muda dengan semangat dan kreativiti mereka dapat belajar daripada pengalaman generasi yang lebih tua, manakala generasi berpengalaman boleh mendapat inspirasi daripada pendekatan baharu yang dibawa oleh belia.

    Yang Berhormat Dato menyeru agar lebih ramai akan melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan terutama belia agar mereka menggunakan tenaga, kreativiti dan inovasi untuk menskalakan projek sukarelawan yang ada pada masa ini di samping mempelopori inisiatif baharu yang mampu memberikan impak besar kepada masyarakat.

    Sementara itu, organisasi juga digalakkan menyokong budaya sukarelawan di tempat kerja, komuniti dan institusi dan semua pihak juga digesa agar terus mendorong interaksi dan menyokong kerjasama antara generasi serta pelbagai bangsa dalam semua jenis aktiviti sukarelawan, sama ada melalui penyertaan, latihan dan bimbingan.

    Yang Berhormat Dato berharap agar usaha berkebajikan ini bukan sahaja terus berkembang di peringkat kebangsaan tetapi turut merentasi peringkat serantau dan global.

    Manakala hubungan kerjasama antara negara-negara ASEAN perlu diperkukuhkan melalui platform seperti Pertukaran Sukarelawan Belia ASEAN, yang akan membolehkan kita berkongsi amalan terbaik dan menangani cabaran bersama.

    “Akhir kata, marilah kita menghayati Hari Sukarelawan Antarabangsa tahun ini dengan semangat keikhlasan dan pengorbanan. Semoga usaha kita dalam memartabatkan budaya sukarelawan akan terus diberkati dan menjadi satu legasi kepada generasi akan datang,” tambah beliau.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda