Hargailah air

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 MAC – Air bukan saja merupakan keperluan asasi dalam kehidupan seharian tetapi juga berkait rapat dengan perkara-perkara ibadat seperti berwuduk, sembahyang, membaca Al-Quran dan seumpamanya.

Kepentingan air jelas terasa pada waktu ia sukar diperolehi, bayangkan saja kesukaran yang berlaku setiap kali berlaku air tutup sementara atau dengan sebab-sebab lain seperti air kekuningan, kemarau, penyelenggaraan pada infrastruktur air dan seumpamanya.

Khatib menegaskan perkara ini semasa menyampaikan khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk ‘Berjimat Menggunakan Air Tanggungjawab Bersama dan Ahlan Ya Ramadan’ dan seterusnya mengingatkan selaku hamba Allah, hendaklah sentiasa mensyukuri dan menghargai segala nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada kita di dunia ini.

Khatib seterusnya menjelaskan, rutin kehidupan harian pasti akan terjejas jika tiada air, jadi sebagai pengguna hendaklah meningkatkan kesabaran dan memberikan kepercayaan kepada Jabatan Perkhidmatan Air, Jabatan Kerja Raya selaku jabatan yang telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dan menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sama ada sedar atau tidak, kita saja kurang menghargai nikmat air kerana pada masa ini, sumber air itu masih mudah diperolehi,” tambahnya.

Khatib seterusnya menegaskan, akibat kurang menghargai nikmat air, terdapat segelintir orang yang membazirkan air dengan menggunakannya secara berlebihan daripada kadar yang diperlukan.

Sehubungan itu, khatib menyeru untuk mengamalkan langkah berjimat cermat dan bertanggungjawab dalam penggunaan air bagi menghindarkan pembaziran dan penggunaan air yang berlebihan.

Khatib seterusnya berkata, “Negara Brunei Darussalam dan umat Islam di seluruh dunia tidak lama lagi akan menyambut kedatangan Bulan Ramadan Al-Mubarak dan pada bulan inilah umat Islam diwajibkan berpuasa.

“Sesungguhnya kedatangan bulan Ramadan ini adalah rahmat yang sangat besar bagi orang yang beriman dan di bulan ini dibukakan segala pintu-pintu langit, syurga dan pintu-pintu rahmat di mana setiap amal kebajikan dibalas dengan pahala yang berlipat ganda,” ujarnya.

Menjelang kedatangan bulan suci ini, khatib mengingatkan untuk sama-sama mempersiapkan diri dari segi rohani yang antaranya mempertingkatkan amal ibadat seperti memperbanyakkan sembahyang sunat, membaca Al Quran, berzikir, beriktikaf, qiamullail dan seumpamanya.

Selain mendalami ilmu agama khususnya dalam perkara ibadah puasa seperti hukum-hukum puasa dan adab-adabnya.

Menurut khatib, antara adab tersebut seperti menjaga diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan semasa berpuasa seperti menjaga pandangan, menjaga pendengaran, menjaga percakapan, menjaga diri daripada membuat perkara yang diharamkan dan perkara yang sia-sia.

Ini sama juga menahan perut daripada makan makanan dan minum yang syubhah apatah lagi yang haram terutamanya semasa berbuka puasa atau bersahur.

Sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang ini, marilah sama-sama merafakkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah kerana dengan kudrat dan iradatNya, dapatlah kita tahun ini menyambut kedatangan bulan Ramadan Al-Mubarak walaupun pada masa kini, seluruh dunia masih bergelut dengan penularan COVID.

“Oleh itu, bagi melindungi Negara Brunei Darussalam dan semua penduduk, janganlah kita lupa untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan dan semoga dengan tibanya Ramadan tahun ini, kita akan dapat melaksanakan amal ibadat dengan sempurna dan mendapat ganjaran dan rahmat daripada Allah SWT,” tekan khatib.