Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa meriah

Oleh SyahmiHassan
Gambar oleh James Kon

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 FEB – Suruhanjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam telah mengadakan majlis minum petang sempena sambutan Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang berlangsung di Hotel Mulia di ibu negara.

Majlis diserikan dengan persembahan muzik dan tarian itu dihadiri oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Nahida Rahman Shumona dan para pegawai dari suruhanjaya tersebut.

Turut hadir selaku tetamu kehormat ialah Pengarah Pentadbiran dan Kewangan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus dan isteri serta ahli-ahli Kor Diplomatik.

Para tetamu dihiburkan dengan persembahan lagu-lagu Melayu oleh pelajar Sekolah St Andrew dan persembahan penyanyi berbakat daripada Persatuan Muzik Brunei serta
dendang lagu anak-anak warga Bangladesh.

Selain persembahan, ia turut diisikan dengan perbincangan meja bulat mengenai Bahasa dan Budaya: Bangla dan Bahasa Melayu.

Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa diraikan setiap 21 Februari setiap tahun sebagai cerminan komitmen semua negara memelihara dan melindungi bahasa-bahasa ibunda mereka.

Pengiran Haji Rosli (tengah) dan PYT Nahida Rahman serta jemputan lain semasa majlis minum petang yang berlangsung di Hotel Mulia.
Tetamu dihiburkan dengan persembahan penyanyi berbakat daripada Persatuan Muzik Brunei.