Wednesday, April 24, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Hari Bakarih Yayasan bantu pengusaha

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 NOV – Seramai 24 orang Usahawan Bakarih Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) yang mengusahakan pelbagai perusahaan menyertai aktiviti jualan Hari Bakarih Yayasan di Kompleks Yayasan, di ibu negara.

    Aktiviti anjuran Yayasan itu dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan.

    Hadir sama ialah Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar selaku Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan, ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar) di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, jemputan khas serta pegawai dan kakitangan Yayasan.

    Turut menyertai acara yang akan berlangsung hingga 27 November depan itu ialah 14 pengusaha dalam kalangan penerima bantuan di bawah Program Pemerkasaan Keusahawanan yang dikendalikan oleh agensi-agensi yang merupakan rakan strategik Yayasan iaitu BIBD SEED, Konsortium Muallafpreneurs, PROPAZ dan Jabatan Penjara.

    Aktiviti itu merupakan platform perniagaan bagi mengenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan.

    Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi dan Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham melawat ke pameran semasa majlis berkenaan.

    Ia merupakan inisiatif Yayasan bagi menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan dalam mengukuhkan portfolio perniagaan mereka dan meluaskan rangkaian pemasaran produk.

    Salah seorang pengusaha, Dayang Nurmahirah binti Abdullah yang mengusahakan songkok Brunei dari Kampung Meragang ketika ditemu bual berkata pameran itu adalah satu peluang yang sesuai untuk mempamerkan produk mereka dan sambutan daripada para pengunjung sangat memberangsangkan.

    Menurutnya lagi, Hari Bekarih Yayasan juga memberi pilihan kepada orang ramai untuk berbelanja di negara ini, di samping membantu perniagaan pengusaha tempatan.

    “Ini dapat menggalakkan lebih ramai lagi warga tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan,’’ katanya.

    Manakala itu, Awang Ali bin Haji Awang Enchi, peserta jualan seni kraf tangan pula berkata, Hari Bekarih Yayasan merupakan salah satu platform yang sesuai bagi mereka mempromosikan barang jualan.

    Menurutnya, ia merupakan penyertaan pertama mereka dan dengan peluang ini berharap dapat mengembangkan dan memperkenalkan lagi produk yang dihasilkan.

    Selain daripada aktiviti jualan dan pameran, pelbagai aktiviti menarik juga disediakan bagi para pengunjung seperti pesta ria, kempen derma darah, pemeriksaan kesihatan, memanah, peraduan mewarna dan bermacam-macam lagi.

    Pameran yang memberigakan maklumat mengenai sumbangan dan bantuan Yayasan, peranan dan aktiviti Sukarelawan Yayasan serta Pusat Pengajian Kesenian dan Kaligrafi Islam Yayasan juga dibukakan bagi kunjungan orang ramai sepanjang acara berlangsung.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...