Hari bersejarah bertukar tragedi

KABUL, 18 OGOS – Beberapa serangan roket melanda ibu negara Afghanistan hari ini, mencederakan sekurang-kurangnya 10 orang awam ketika negara itu meraikan ulang tahun ke-101 kemerdekaannya, kata kementerian dalam negeri.

Empat belas roket ditembak dari dua kenderaan di Kabul, kata jurucakap kementerian dalam negeri Tareq Arian, sambil menambah bahawa dua suspek telah ditangkap.

“Sebilangan besar roket ini mengebom rumah orang awam di Kabul,” kata Arian.

“Malangnya, 10 orang awam termasuk empat kanak-kanak dan seorang wanita cedera.”

Roket itu menyasarkan ibu negara setelah Presiden Ashraf Ghani mengambil bahagian dalam upacara hari kemerdekaan di istana presiden.

Seorang lelaki warga Afghanistan yang tercedera akibat serangan roket itu cuba untuk berdiri selepas mendapat rawatan di salah sebuah hospital di Kabul. – AFP

Saksi mengatakan beberapa roket jatuh berhampiran istana dan kementerian pertahanan di kawasan yang juga menempatkan beberapa kompleks kedutaan.

Serangan roket itu berlaku ketika kerajaan Afghanistan dan Taliban bersedia untuk memulakan rundingan damai.

Rundingan akan dimulakan selepas Kabul membebaskan kira-kira 400 tahanan Taliban seperti yang dipersetujui minggu lalu dalam satu pertemuan besar-besaran.

Upacara mengangkat sumpah Ghani pada 10 Mac terganggu oleh tembakan roket berhampiran istana.

Tidak ada kecederaan serius yang dilaporkan pada masa itu. Afghanistan tidak pernah menjadi sebahagian daripada kerajaan Britain tetapi secara rasmi bebas daripada pengaruh Inggeris pada Ogos 1919. – AFP