Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari CR Global Maybank di Taman Jubli

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 Ogos – Maybank Brunei, semalam, telah menganjurkan acara tahunan mereka, Hari Tanggungjawab Korporat (CR) Global 2017 di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Acara berkenaan diadakan dengan kerjasama Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan, Pusat Pembangunan dan Inovasi Pelajar (CSDI), Politeknik Brunei dan SMARTER Brunei.

    Tahun ini juga menandakan tahun ketiga Politeknik Brunei bekerjasama dengan Maybank Brunei dalam menganjurkan acara berkenaan.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengerusi Lembaga Bandaran, Bandar Seri Begawan, Haji Ali bin Matyassin.

    Turut hadir ialah Ketua Negara dan Pengurus Besar bagi Maybank Brunei, Lim Yu Kwang, Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai dan Presiden SMARTER Brunei, Malai Haji Abdullah bin Haji Malai Othman.

    Tetamu kehormat dan Pengurus Besar Maybank Brunei merasmikan pembukaan semula ‘Mangrove Walk’ di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Tetamu kehormat dan Pengurus Besar Maybank Brunei merasmikan pembukaan semula ‘Mangrove Walk’ di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Sukarelawan ketika membersihkan kawasan tebing sungai berdekatan dengan taman tersebut.
    Sukarelawan ketika membersihkan kawasan tebing sungai berdekatan dengan taman tersebut.
    Sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Politeknik Brunei, kakitangan Maybank Brunei, SMARTER Brunei dan juga dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ketika menjalankan kempen kebersihan di kawasan Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
    Sukarelawan yang terdiri daripada pelajar-pelajar Politeknik Brunei, kakitangan Maybank Brunei, SMARTER Brunei dan juga dari Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan ketika menjalankan kempen kebersihan di kawasan Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Hari Tanggungjawab Korporat Global Maybank sentiasa diambil berat oleh Maybank kerana ia merupakan acara penting di mana lebih 20,000 warga Maybank di seluruh dunia daripada keluarga Maybank di 15 buah negara mengambil bahagian dalam memberi inspirasi kepada komuniti di seluruh dunia melalui lebih 100 inisiatif tanggungjawab korporat yang mampan.

    Pengurus Produk dan Strategi Pemasaran Maybank Brunei, Woo Chang Huei menjelaskan kepada Media Permata bahawa inisiatif mereka di acara tersebut merupakan salah satu daripada lima teras tanggungjawab korporat Maybank, pemerkasaan komuniti, pendidikan, gaya hidup yang sihat, kepelbagaian alam sekitar serta seni dan budaya.

    Beliau juga menjelaskan bahawa pada tahun ini, Maybank Brunei telah mengambil inisiatif bersama rakan-rakan untuk membersihkan dan mencantikkan Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    Ini juga termasuk pembaikan dan pembukaan semula jambatan di sepanjang ‘Mangrove Walk’ di dalam taman berkenaan yang ditutup.

    Selain itu, kempen kebersihan besar-besaran juga diadakan yang melibatkan lebih daripada 200 orang sukarelawan yang terdiri daripada 100 orang pelajar Politeknik Brunei, kakitangan Maybank Brunei, sukarelawan dari SMARTER Brunei dan sokongan kakitangan Lembaga Perbandaran Bandar Seri Begawan untuk membersihkan kawasan berdekatan tebing sungai dan taman.

    SMARTER Brunei juga mengadakan gerai jualan di Taman Jubli Perak tersebut dari kelmarin hingga hari ini.

    “Kami berharap bahawa inisiatif ini akan dapat memberikan inspirasi kepada masyarakat supaya lebih berusaha untuk menjadikan negara tempat yang lebih bersih dan lebih sihat.

    “Kami percaya tidak ada yang lebih bermakna daripada mengetahui bahawa sebagai individu dan sebagai satu pasukan, kami dapat membuat perbezaan yang signifikan dalam kehidupan orang lain,” jelas Lim Yu Kwang dalam ucapannya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda