Thursday, April 18, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Hari Kanada disambut meriah

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 JULAI – Kanada dan ASEAN akan terus menjadi rakan dialog dan rakan kongsi strategik, meluaskan skop kerjasama dan mengukuhkan lagi penglibatan dalam pelaburan, meneroka bidang baharu berkepentingan bersama serta komited menyokong peranan dalam keamanan di Asia Tenggara dan Indo-Pasifik.

    Kanada juga telah dan terus berusaha untuk pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan pemulihan COVID, termasuk dengan menggalakkan pemerkasaan ekonomi wanita dan mengembangluaskan lagi Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada yang merangkumi Negara Brunei Darussalam.

    Perkara itu ditekankan oleh Pesuruhjaya Tinggi Kanada ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Jeanette Stovel semasa berucap pada sambutan Hari Kanada di Hotel Radisson di ibu negara hari ini.

    Menurutnya, hubungan yang lama terjalin telah membolehkan Kanada dan ASEAN mengeratkan hubungan rakyat dengan rakyat. Kanada dengan bangganya akan terus melabur dalam pembelajaran sepanjang hayat melalui program biasiswa Kanada-ASEAN SEED dan memaklumkan bahawa sembilan pelajar Brunei telah dianugerahkan Biasiswa SEED dan akan melanjutkan pelajaran ke Kanada dalam masa beberapa bulan akan datang.

    Tambahnya, Kanada menyedari bahawa dunia sedang menghadapi krisis pembelajaran global di mana berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak mengembangkan kemahiran dan pengetahuan penting yang mereka perlukan untuk berjaya, situasi yang telah diburukkan lagi oleh pandemik COVID.

    PYT Jeanette Stovel memotong kek pada majlis sambutan Hari Kanada baru-baru ini.

    Sehubungan itu, celik huruf dan pendidikan merupakan perkara penting yang akan menjadi tumpuan beliau di sini.

    Menurutnya lagi, Suruhanjaya Tinggi Kanada di sini telah bekerjasama dengan universiti dan NGO tempatan untuk meningkatkan akses kepada buku dari Kanada, termasuk buku cerita kanak-kanak yang mengisahkan kisah sebenar apabila sebuah masjid dari Winnipeg, Manitoba dipindahkan lebih 4,000km ke utara ke Inuvik supaya masyarakat Islam di kampung kecil itu mempunyai tempat suci untuk sembahyang.

    Sebuah kisah yang telah digambarkan cukup indah dalam buku ini dan suruhanjaya tinggi itu menyediakan beberapa salinan kepada Persatuan Membaca dan Literasi Brunei (RELA) dan perpustakaan kebangsaan (Dewan Bahasa dan Pustaka) untuk mencetuskan keseronokan membaca kanak-kanak Brunei.

    Suruhanjaya juga akan menyediakan buku-buku lain kepada Universiti Brunei Darussalam dan Universiti Teknologi Brunei untuk menambah buku berkaitan Kanada sedia ada di perpustakaan masing-masing.

    Beliau juga menyentuh kempen #SheLeadsHere, yang bertujuan untuk membuka pintu kepada penyokong dan pemimpin wanita muda, dalam semua kepelbagaian mereka.

    Melalui kempen itu, Suruhanjaya Tinggi berkenaan akan melibatkan diri dalam penyertaan bermakna dalam isu-isu berkaitan dengan pemimpin wanita muda tempatan.

    Sehubungan itu, beliau mengumumkan pemilihan Dayang Zubaidah binti Hussain sebagai juara kempen #SheLeadsHere Kanada di Brunei.

    Sambutan Hari Kanada turut dihadiri pegawai-pegawai kanan kerajaan Brunei, ahli perniagaan terkemuka, kor diplomatik dan NGO serta diserikan dengan sarapan penkek tradisional Kanada.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Terumbu Sawar Besar alami pemutihan karang paling teruk

    CANBERRA, 17 APRIL - Sebahagian besar Terumbu Sawar Besar yang ikonik di Australia mengalami pemutihan karang pada musim panas 2023-24, menurut laporan kerajaan. Agensi kerajaan...