Hari Kebangsaan tahun ini tetap disambut meriah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 JAN – Format sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan ke-37 tahun ini agak berbeza daripada sambutan-sambutan yang lalu dengan mengambil kira situasi pandemik COVID-19 yang memerlukan negara untuk sentiasa berwaspada.

Walau bagaimanapun, acara sambutan akan tetap diraikan secara signifikan dengan memastikan impak yang berkesan dan berkualiti ke arah memperkukuhkan semangat patriotisme dan bersatu padu yang disesuaikan dengan norma baharu. Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, selaku pengerusi jawatankuasa tertinggi semasa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi (JKT) Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, hari ini.

Jelasnya, langkah-langkah yang perlu dititikberatkan termasuklah dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan khususnya bagi pintu-pintu masuk untuk ditetapkan mengikut zon bagi mengasingkan peserta, jemputan dan petugas, tempoh upacara tidak melebihi dua jam dan penjarakan sosial sekurang-kurangnya satu meter antara satu sama lain.

“Ke arah itu, pihak KKBS telah membuat penelitian secara rapi sejak Disember tahun lalu antara lain bersama pihak Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Jabatan Adat Istiadat Negara, Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Pasukan Polis Diraja Brunei bagi mendapatkan pandangan dan nasihat demi memastikan elemen-elemen sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan pada tahun 2021 akan mengetengahkan semangat patriotisme yang tinggi seperti sambutan-sambutan sebelum ini.

“Mengenai dengan konsep persembahan tahun ini, ianya akan dipersembahkan dalam suasana penuh semangat, ceria dan berwarna-warni dengan memperlihatkan perpaduan ke arah pemantapan ketamadunan dan sejarah bangsa,” tambahnya.

Mesyuarat turut membincangkan persediaan acara-acara berkaitan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 antaranya Majlis Doa Kesyukuran Sembahyang Fardu Maghrib dan Isyak berjemaah, membaca Surah Yasin serta Doa Kesyukuran dan upacara perhimpunan.

Selain itu, turut dibincangkan ialah upacara berkaitan bendera dan acara-acara sampingan Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 seperti majlis khatam Al-Quran 37 kali dan Festival Hari Kebangsaan.

Ia juga mengetengahkan laporan perkembangan dan cadangan pihak Urus Setia dan setiap Jawatankuasa Kerja terhadap perkara yang memerlukan ketetapan para ahli khususnya, persiapan yang giat dijalankan termasuk hasil pertandingan logo, format persembahan padang, perbarisan lalu, atur cara dan tarikh-tarikh raptai bagi upacara dan acara utama sambutan.

Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan ketika berucap semasa mesyuarat tersebut. Turut hadir ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama (kanan) dan Timbalan Menteri Pendidikan (kiri).
Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bersama ahli-ahli Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-37 bergambar ramai di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, kelmarin.