Hari kedua brunei bebas jangkitan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 APRIL – Buat hari kedua berturut-turut Kementerian Kesihatan telah mengumumkan bahawa tidak ada kes baharu yang disahkan dijangkiti COVID-19 di negara ini menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kekal sebanyak 135 kes setakat ini.

“Walau bagaimanapun, penularan wabak COVID-19 ini masih belum berakhir dan kita masih perlu mematuhi langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko penularan wabak tersebut daripada berleluasa.”

Demikian telah dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar dalam Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Sementara itu, sembilan lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing yang membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 82 orang dan terdapat 52 kes lagi masih dirawat di pusat berkenaan, tambah Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Daripada jumlah tersebut, jelasnya lagi, satu daripada tiga kes yang sebelum ini dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di pusat tersebut telah beransur pulih dan tidak lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan ketika berucap pada sidang media berkenaan.

“Pada ketika ini, beliau berada dalam pemantauan rapi. Sementara itu, dua lagi masih dalam keadaan kritikal di mana salah seorang daripadanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” jelas Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan bahawa jumlah keseluruhan mereka yang telah menamatkan tempoh kua-rantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 ialah sebanyak 2,124 orang dan hanya 237 orang sahaja yang masih menjalani kuarantin.

“Pada hari ini juga, seramai 305 orang lagi telah menamatkan tempoh pengasingan diri di tempat-tempat pengasingan yang disediakan oleh kerajaan dan dibenarkan untuk pulang ke rumah masing-masing, membawa kepada jumlah keseluruhan sebanyak 628 orang,” tambahnya.

Menurutnya lagi, sejak awal Januari 2020, sebanyak 8,261 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan, yang membawa nisbah kepada satu dalam 53 orang yang sudah dibuat pemeriksaan bagi COVID-19.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubu-ngi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn