Hari keenam tanpa jangkitan COVID-19

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MEI – Negara Brunei Darussalam, hari ini, mencatatkan sifar jangkitan baharu COVID-19 dan jumlah keseluruhan kes di Negara Brunei Darussalam kekal pada 141 orang.

Pada masa yang sama, belum ada kes terbaharu sembuh daripada COVID-19, menjadikannya kekal 134 orang manakala jumlah kes aktif yang masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan pada ketika ini ialah sebanyak enam kes di mana dua daripadanya masih dalam keadaan kritikal.

Walau bagaimanapun, hanya seorang sahaja yang masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO) dan mesin pernafasan, manakala seorang lagi kini hanya memerlukan bantuan mesin pernafasan sahaja serta selebihnya adalah dalam keadaan yang baik.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa pada ketika ini, seramai 108 orang sedang menjalani kuarantin mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204 manakala jumlah keseluruhan mereka yang menamatkan tempoh kuarantin ialah seramai 2,575 orang. Manakala itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 277 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 16,350 ujian.

Bagi orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi, healthinfo.gov.bn.

Jangkitan COVID-19 di Brunei Darussalam terus mendatar memasuki hari keenam. – Gambar hiasan