Hari Keluarga eratkan hubungan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak-pihak berkuasa hari ini, telah mengadakan Hari Keluarga kelolaan Jabatan Kaji cuaca Brunei Darussalam (BDMD) yang berlangsung di Taman Jubli Perak Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohamad Yusof bersama datin dan keluarga.

Sambutan Hari Keluarga berkenaan merupakan salah satu aktiviti tahunan yang diadakan sempena Hari Keluarga Kebangsaan.

Acara dimulakan dengan senamrobik dan diteruskan dengan aktiviti-aktiviti riadah bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai, kakitangan dan ahli-ahli keluarga serta untuk merapatkan lagi hubungan kekeluargaan dengan beriadah bersama-sama dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada acara itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyerahkan cek hasil kutipan derma dan aktiviti amal kepada Pemangku Ketua Unit Pendidikan Khas, Kementerian Pendidikan, Dr Mona Aliana binti Dato Paduka Haji Alimin.

Sumbangan ini adalah untuk membantu pelajar-pelajar berkeperluan khas semasa sambutan berkenaan.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof; Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Cybersecurity, Strategi & Korporat), Haji Hairul Mohd Daud bin Haji Abdul Karim dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Pengangkutan, Penyelidikan dan Perancangan), Pengiran Haji Mohd Zain bin Pengiran Haji Abdul Razak.

Antara yang menyertai aktiviti semasa acara itu ialah ketua pegawai eksekutif Pihak Berkuasa Maritim dan Pelabuhan Brunei Darussalam (PBMP), pemangku ketua pegawai eksekutif Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI), para pengarah, ketua-ketua jabatan serta pegawai dan kakitangan kementerian dan jabatan-jabatan di bawahnya serta pihak berkuasa bersama ahli keluarga masing-masing.

Acara turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti termasuk lukisan muka, Darts and Balloons, Teh Tarik, Welcome to Jenga Coloring, pameran haiwan, tarik kalat, merambat dan banyak lagi.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyampaikan replika cek kepada Dr. Mona Aliana untuk pelajar berkeperluan khas.
Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib menyertai perlawanan tarik kalat pada acara tersebut.
Sesi senamrobik yang turut disertai oleh Yang Berhormat Dato dan datin.