Oleh Sim Y. H.
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JUN – Program Utusan Sukan (Sports Envoy) Jabatan Negara Amerika Syarikat bermatlamat untuk mengetengahkan peranan sukan dalam mengajar kita mengenai nilai disiplin, kerja keras dan ketabahan dalam diri kita.
Manakala itu, di peringkat global, sukan mampu untuk memecahkan halangan, menghubungkan warga dan memberikan inspirasi kepada kita ke arah kefahaman bersama dan keamanan.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Amerika Syarikat ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Caryn MacClelland dalam ucapannya di Majlis Sambutan Haji Kemerdekaan Amerika Syarikat Ke-247 yang berlangsung di Kediaman Rasmi Duta Amerika Syarikat di Negara Brunei Darussalam, kelmarin.

Hadir di majlis resepsi hari kemerdekaan berkenaan ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Nazmi bin Haji Mohamad dan isteri, Datin Hajah Binanun binti Haji Bungsu.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan, eksekutif perniagaan, pemimpin persatuan sivil serta jemputan-jemputan khas.

Dalam ucapannya lagi, PYT Caryn McClelland menyatakan melalui program utusan sukan berkenaan, dua orang bekas pemain pasukan bola sepak kebangsaan Amerika Syarikat, Lorrie Fair dan Amy Griffin, pemenang Piala Dunia Wanita FIFA, berada di Brunei bagi mengendalikan ceramah motivasi, klinik jurulatih dan sesi latihan dengan menumpukan kepada kesaksamaan jantina, memperkasa belia serta mempromosikan pembangunan sukan.
Di majlis resepsi yang mengetengahkan tema sukan berkenaan, YB Dato Seri Setia Haji Nazmi dan PYT Caryn McClelland telah bertukar-tukar jersi pasukan bola sepak kebangsaan, Negara Brunei Darussalam dan Amerika Syarikat.
Pada majlis itu juga, YB Dato Seri Setia Haji Nazmi juga telah disampaikan dengan bola sepak yang ditandatangani oleh Utusan Sukan Amerika Syarikat, Lorrie Fair dan Amy Griffin.

Sambutan Hari Kemerdekaan Amerika Syarikat itu merupakan permulaan bagi Program Utusan Sukan Amerika Syarikat yang bermula pada 6 Jun hingga 10 Jun di Negara Brunei Darussalam.
Semasa program itu, bekas pemenang Piala Dunia Wanita FIFA iaitu Amy Griffin pada 1991 dan Lorrie Fair pada 1999 akan mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah, bertemu dengan belia dan atlet tempatan untuk mempromosikan kesaksamaan jantina dalam sukan serta menggalakkan penyertaan perempuan dalam sukan bola sepak dan juga sukan-sukan lain.