Hari Kemerdekaan India ke-75 disambut sederhana

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 OGOS – Disebabkan gelombang kedua pandemik COVID-19 yang tercetus secara mengejut di negara ini, Suruhanjaya Tinggi India di Brunei Darussalam hanya meraikan Hari Kemerdekaan India ke-75 di bangunan suruhanjaya berkenaan tanpa kehadiran diaspora India dan rakan-rakan India di negara ini.

Pesuruhjaya Tinggi India ke Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Ajaneesh Kumar (gambar) dalam perutusannya sempena Hari Kemerdekaan India, hari ini, menyatakan keyakinan bahawa kecemasan kesihatan kali ini, seperti gelombang pertama, akan dapat dikawal oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Dalam perutusannya itu, Tuan Yang Terutama menyatakan bahawa kerajaan India telah melancarkan [email protected] – Azadi Ka Amrit Mahotsav, sambutan selama 75 minggu untuk memperingati 75 tahun kemerdekaan India.

Festival berkenaan telah dilancarkan oleh perdana menteri India di ‘Dandi March, Sabarmati Ashram, Gujarat (kediaman Mahatma Gandhi semasa pergelutan bagi kebebasan India) di India pada 12 Mac lalu.

Menurut beliau, sambutan-sambutan berkenaan akan menggambarkan semangat pergerakan bebas India dan menunjukkan pencapaiannya sejak 1947. Menyentuh mengenai hubungan antara India dan Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama berkata bahawa kedua-dua buah negara secara tradisinya mempunyai hubungan yang mesra.

Perhubungan berkenaan, terus dikukuhkan lagi menerusi interaksi kerap dan pengembangan mekanisme dua hala untuk merangkumi bidang-bidang kerjasama baharu.

Hari ini, tambah beliau, kedua-dua buah negara mempunyai hubungan dalam pelbagai aspek daripada orang ke orang hingga kerjasama angkasa. Kedua-dua buah negara telah menandatangani 14 memorandum persefahaman dan perjanjian untuk mengembangkan dan mempelbagaikan lagi hubungan tersebut.

Bersempena Hari Kemerdekaan India ke-75, Tuan Yang Terutama menyampaikan ucapan selamat dan tahniah kepada semua warga diaspora India di Brunei Darussalam.