Friday, March 21, 2025
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hari Maklumat Pendidikan Australia 10 Februari ini

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jan – Suruhanjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam dengan kerjasama Suruhanjaya Perdagangan dan Pelaburan negara itu akan mengadakan Hari Maklumat Pendidikan Australia pada 10 Februari ini di Hotel Radisson, di ibu negara.

    Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Nicola Rosenblum dalam satu sidang media di Suruhanjaya Tinggi Australia di ibu negara berkata, mereka menyedari minat para pelajar negara ini untuk mencari maklumat mengenai pengajian di Australia semakin meningkat.

    “Acara itu nanti adalah peluang yang sesuai untuk pelajar, ibu bapa dan juga kaunselor pendidikan mendapatkan maklumat mengenai kursus dan program yang ditawarkan oleh universiti-universiti Australia,” jelas Nicola.

    Australia tahun lepas, menurut Nicola, adalah destinasi kedua tertinggi pelajar negara ini untuk meneruskan pengajian tinggi di luar negara. Setakat ini, lebih 10,000 orang pelajar Brunei telah melanjutkan pengajian di institusi-institusi Australia, sekali gus menjadikan negara Kangaroo itu terus menjadi salah satu pilihan destinasi pendidikan bagi kebanyakan pelajar Brunei.

    “Ini adalah satu peluang yang baik kepada pelajar dengan mengambil tindakan susulan carian untuk mencari penempatan serta mengetahui lebih lanjut mengenai kepelbagaian program yang terdapat di Australia,” kata Nicola.

    Nicola Rosenblum ketika menjelaskan mengenai Hari Maklumat Pendidikan Australia yang akan berlangsung di Hotel Radisson pada 10 Februari ini.
    Nicola Rosenblum ketika menjelaskan mengenai Hari Maklumat Pendidikan Australia yang akan berlangsung di Hotel Radisson pada 10 Februari ini.

    Wakil-wakil bagi sembilan universiti Australia akan menerangkan mengenai program kursus pada pameran yang akan diadakan dari jam 8:30 pagi hingga 12 tengahari dan dari jam 2 petang hingga jam 7 malam.

    Universiti-universiti yang menyertai Hari Maklumat Pendidikan Australia itu nanti ialah University Of New South Wales, James Cook University, Swinburne University Of Technology, University Of Western Australia, University Of Adelaide, Deakin University, Monash University, Curtin University dan Griffith University.

    Menurut kenyataan akhbar, Australia berbangga dengan kualiti pendidikan dan latihan, penjana pendidikan global terkemuka dengan beberapa kemudahan dan pendidik terbaik di dunia.

    Para pelajar dari seluruh dunia datang ke Australia kerana pendidikan tinggi mereka bertaraf dunia, pendidikan vokasional dan latihan (VET) yang progresif dengan sekolah dan kursus Bahasa Inggeris antarabangsanya sangat baik.

    Di samping itu, Australia juga menawarkan pelbagai jenis pilihan pengajian bagi pelajar antarabangsa, di mana lebih daripada 1,200 institusi menawarkan lebih daripada 22,000 jenis kursus.

    Kursus-kursus yang ditawarkan terdiri daripada sains, pengurusan dan perniagaan, kemanusiaan, kejuruteraan, undang-undang, sains kesihatan dan pelbagai lagi. Institusi-institusi di Australia juga antara yang terbaik di dunia dari segi disiplin terutama dalam bidang kejuruteraan dan teknologi, perubatan, sains alam sekitar serta perakaunan dan kewangan.

    Menurut Nicola lagi, sebanyak 43 buah universiti di Australia dan banyak lagi institusi-institusi lain menawarkan kursus-kursus pendidikan tinggi.

    Kesemua institusi dan kursus yang didaftar oleh kerajaan Australia sangat prihatin dalam mengekalkan kualiti pendidikan bagi pelajar Australia mahupun pelajar antarabangsa.

    Dengan sistem pendidikan dan latihan yang sangat canggih, pelajar bukan sahaja didedahkan dengan kursus pengajian bertaraf dunia tetapi mereka juga mendapat perkhidmatan pakar sokongan.

    Hari Maklumat Pendidikan Australia akan dibukakan kepada orang ramai dan kemasukan adalah percuma. Untuk maklumat lanjut, anda boleh menghubungi Austrade di talian 2236922 atau emel ke josie.abdullah @austrade.gov.au.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda