Hari malaysia tetap disambut penuh meriah

KUALA LUMPUR, 16 SEPT – Sambutan Hari Malaysia 2020 seluruh negara sempena pembentukan Malaysia tetap di-sambut meriah, walaupun negara berdepan dengan situasi penularan COVID-19 sejak hujung tahun lalu.

Walaupun pergerakan terbatas kerana mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun semangat cintakan tanah air tetap terserlah dalam norma baharu.

Tanpa sambutan rasmi di sesetengah negeri seperti tahun-tahun sebelumnya, pelbagai pihak mengambil inisiatif sendiri untuk menyemarakkan sambutan tersebut secara kecil-kecilan.

Di Pahang, Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Ismail mengambil peluang beramah mesra menerusi persidangan video dengan petugas barisan hadapan dari sekitar Pekan iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah, hospital, balai bomba dan Kem Rejimen 505 Sungai Miang.

Sambutan peringkat negeri itu juga diserikan, dengan persembahan pentomin bertemakan perjuangan menentang wabak COVID-19 dan nyanyian termasuk oleh ahli bomba Syafiq Farhain, dan anggota pasukan beruniform, yang berlangsung di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) hari ini. – Bernama

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika berucap pada sambutan hari Malaysia peringkat negeri Sabah tahun 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) kelmarin. – Bernama