Hari menentang dadah diingati

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JUN – Bersempena memperingati Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram, Biro Kawalan Narkotik (BKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengadakan Majlis Sembahyang Fardu Asar dan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah, Membaca Surah Yasin dan Doa Selamat di Masjid Pengiran Muda Abdul Malik, Kampung Tungku, hari ini.

Hadir pada majlis itu ialah Pemangku Pengarah BKN, Haji Mohd Jaffari bin Haji Mahadi.

Sejak 1987, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan tarikh 26 Jun sebagai Hari Antarabangsa Menentang Penyalahgunaan Dadah dan Pengedaran Dadah Haram yang mana tema rasmi pada tahun ini yang dikeluarkan oleh Organisasi PBB mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) ialah Listen First, sama seperti tema pada tahun sebelumnya.

Tema dipilih sebagai salah satu inisiatif bagi meningkatkan sokongan dalam pencegahan penggunaan dadah yang berasaskan sains dan setentunya menjadi pelaburan berkesan untuk kesejahteraan kanak-kanak, belia, keluarga dan masyarakat.

Sambutan pada tahun ini bersesuaian dengan tarikh 26 Jun yang jatuh pada bulan Syawal yang merupakan waktu untuk setiap individu Islam bergembira menyambut Hari Raya Aidilfitri bersama keluarga dan rakan-rakan sekali gus mengeratkan lagi tali silaturahim selain meraih keberkatan yang terdapat pada bulan mulia ini.

Warga BKN yang menghadiri acara keagamaan sempena hari menentang dadah.