Monday, November 28, 2022
23.1 C
Brunei

-

Hari Pasaran dedah peluang bidang industri

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Julai – Belia-belia dan pencari kerja tempatan berpeluang untuk meneroka peluang pekerjaan dalam bidang industri serta memperoleh latihan bagi meningkatkan set kemahiran dan kapasiti mereka semasa Hari Pasaran (Market Day) Pusat Pembangunan Kapasiti (PPK) yang berlangsung di Auditorium, PPK bermula hari ini hingga 30 Julai.

Semasa hari pasaran selama lima hari itu, para pencari kerja khususnya golongan belia boleh mendaftar dan mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai pelbagai program latihan yang ditawarkan serta menyaksikan kerja-kerja yang ditawarkan itu menerusi sesi demonstrasi yang dijalankan.

Keunikan hari pasaran itu adalah para belia dan pencari kerja tempatan boleh berinteraksi dengan tenaga pengajar dan kakitangan industri yang berpengalaman yang boleh memberikan mereka maklumat serta mengongsi pengalaman mereka berkhidmat dalam bidang-bidang kerjaya yang ditawarkan daripada permulaan mereka berkhidmat hingga ke kedudukan yang dijawat oleh mereka pada masa ini.

Salah seorang tenaga pengajar dari bidang Insulator dan Scaffolding bagi Syarikat Mashhor General Contractor Sdn Bhd, Awang Jefridin bin Haji Mohamad dalam temu bual bersama Media Permata semasa Hari Pasaran PPK, hari ini, menyatakan harapan supaya lebih ramai anak-anak tempatan akan menceburi bidang kerjaya yang mencabar itu tetapi ia merupakan satu kerjaya yang juga membina kewibawaan mereka.

Beliau mempunyai pengalaman selama 10 tahun dalam bidang berkenaan setelah mula berkhidmat sebagai pembantu insulator pada 2008 yang mana pada masa itu, tidak ramai anak tempatan yang menerokai bidang berkenaan.

Para belia dan pencari kerja tempatan membuat pendaftaran semasa Hari Pasaran PPK itu.
Para belia dan pencari kerja tempatan membuat pendaftaran semasa Hari Pasaran PPK itu.
Awang Jefridin (empat dari kiri) menasihati kepada para belia tempatan yang ingin untuk menceburi bidang kerjaya dalam industri untuk mempunyai sikap sabar kerana tugas itu merupakan sesuatu yang mencabar dan amat berbeza daripada bertugas di dalam pejabat.
Awang Jefridin (empat dari kiri) menasihati kepada para belia tempatan yang ingin untuk menceburi bidang kerjaya dalam industri untuk mempunyai sikap sabar kerana tugas itu merupakan sesuatu yang mencabar dan amat berbeza daripada bertugas di dalam pejabat.
Para belia dan pencari kerja tempatan mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai program-program latihan dan kerjaya dalam bidang industri yang ditawarkan semasa Hari Pasaran PPK yang sedang berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 30 Julai.
Para belia dan pencari kerja tempatan mendapatkan penerangan lebih lanjut mengenai program-program latihan dan kerjaya dalam bidang industri yang ditawarkan semasa Hari Pasaran PPK yang sedang berlangsung selama lima hari bermula hari ini hingga 30 Julai.

Beliau berkhidmat dalam bidang itu atas minatnya dan memperoleh latihan serta kemahiran menerusi kerjanya daripada rakan-rakan kerja dari luar negara dan melalui ketekunan berkhidmat, Awang Jefridin berjaya untuk naik dalam bidang kerjaya berkenaan hingga ke pihak pengurusan dan pernah menjawat jawatan pengurus projek.

Beliau juga mengongsi bahawa pada masa ini, pekerja-pekerja tempatan yang menceburi bidang itu adalah sekitar 30 hingga 40 orang dengan sebilangan besar mereka berkhidmat di BLNG.

Katanya lagi, anak-anak tempatan iaitu lelaki atau wanita dipelawa untuk menceburi bidang berkenaan walaupun tugas itu mencabar tetapi mereka akan mendapat latihan kemahiran yang mencukupi selama tiga bulan serta seterusnya diberikan pekerjaan dalam bidang berkenaan dengan syarikat-syarikat yang sedia menanti untuk mengambil mereka untuk berkhidmat.

Awang Jefridin menyarankan kepada belia tempatan yang ingin meneroka bidang itu, untuk mempunyai sikap sabar kerana tugas itu merupakan sesuatu yang mencabar dan amat berbeza daripada bertugas di dalam pejabat.

Menurutnya lagi, di permulaan berkhidmat ia mungkin menyukarkan tetapi mereka akan dapat menyesuaikan diri dan pada masa yang sama, mereka mempunyai peluang untuk naik dalam bidang berkenaan di mana tidak mustahil bagi mereka untuk menjadi seorang penyelia dan lebih tinggi lagi dengan gaji-gaji yang lebih lumayan.

PPK terletak di bangunan bekas Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna, Jalan 10, Rancangan Perumahan Negara Kampung Lambak Kanan dan penubuhannya telah diumumkan dalam titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bersempena Ulang Tahun Keputeraan Baginda ke-71 pada 15 Julai lalu.

Matlamat utama penubuhan pusat berkenaan adalah untuk memastikan bahawa pencari kerja tempatan mampu dipasarkan dengan menyediakan program latihan yang berpandukan kepada permintaan industri serta diiktiraf mengikut standard industri.

Program-program yang ditawarkan di pusat itu, juga meliputi kursus-kursus menaikkan taraf kemahiran bagi memastikan para pelatih mendapatkan kompetensi yang diperlukan oleh industri serta memperbaiki lagi kebolehpasaran mereka bagi pelbagai kerja dalam sektor swasta.

Semasa Hari Pasaran itu, para pencari kerja dan belia-belia tempatan yang berminat boleh mendapatkan maklumat yang lebih mendalam mengenai 13 buah program yang ditawarkan bagi pelbagai jawatan termasuk welder, scaffolder, rigger, pemandu kenderaan berat, blaster painter, mekanik peralatan, pekerja besi, mekanik elektrikal, mechanical fitter, tukang kayu, mason/plaster, insulator dan marker fitter/ riveter.

Mereka yang berminat untuk mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan boleh mendaftar bagi menyertai program-program berkenaan di mana jika mereka berjaya, pelatih-pelatih akan diberikan tawaran kerja bersyarat (conditional offer of employment, COE) dengan syarikat-syarikat di sektor swasta.

Mereka juga akan menjalankan latihan mengikut program yang disertai bagi tempoh daripada tiga hingga enam bulan dengan pengambilan pertama program PPK dijadualkan bermula pada September nanti dengan kursus-kursus ditawarkan sebagai scaffolder, rigger, pemandu kenderaan berat, blaster painter, pekerja besi (steel worker), tukang kayu (wood worker), mason/plaster, insulator dan marker fitter/ riverter.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Korea Selatan lancar bas pandu sendiri

SEOUL, 25 NOV – Ibu negara Korea Selatan melancarkan laluan bas pandu sendiri pertama hari ini, sebahagian daripada uji kaji yang dikatakan jurutera berhasrat...
- Advertisment -